HomeSukanHSN 2026 berlangsung serentak di enam zon Sabtu ini, sasar 600,000 penyertaan

HSN 2026 berlangsung serentak di enam zon Sabtu ini, sasar 600,000 penyertaan

Read Time:1 Minute, 47 Second

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 di Sabah akan berlangsung secara serentak di enam zon pada Sabtu ini dengan sasaran kira-kira 600,000 penyertaan masyarakat di seluruh negeri.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penganjuran secara serentak itu membolehkan masyarakat di pelbagai daerah mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti sukan dan gaya hidup sihat.

Katanya, sambutan peringkat negeri akan diadakan di Padang Istiadat, Tuaran dan dirasmikan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

“Selain Tuaran, sambutan HSN turut diadakan serentak di lima zon lain di seluruh Sabah iaitu Tawau, Sandakan, Kudat, Beaufort serta Keningau.

“Sambutan ini dijangka mampu menghimpunkan kira-kira 600,000 rakyat di seluruh negeri menerusi pelbagai pengisian program sukan dan aktiviti gaya hidup sihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi temu bual bersama SabahFM dan Studio Kami Bah Ni (KBI) di Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, pada Isnin.

Menurut Nizam, penganjuran HSN secara meluas di enam zon membuktikan usaha kerajaan memastikan aktiviti sukan dapat disertai masyarakat tanpa mengira kawasan dan latar belakang.

Katanya, program yang disusun juga merangkumi pelbagai peringkat umur, termasuk kanak-kanak dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Pelbagai program telah dirangka seawal jam 6 pagi dan sesuai untuk semua lapisan masyarakat.

“Penganjuran ini bukan sekadar aktiviti tahunan, sebaliknya menjadi simbolik komitmen kerajaan untuk memupuk kebiasaan bersukan sebagai budaya dan amalan kehidupan seharian rakyat sepanjang masa,” katanya.

Beliau berkata, masyarakat tidak seharusnya melihat aktiviti sukan hanya sebagai persediaan menghadapi pertandingan, sebaliknya menjadikannya sebahagian daripada rutin kehidupan.

Dalam pada itu, HSN 2026 mengetengahkan tema ‘Sukan dan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI)’, dengan pengisian turut merangkumi aktiviti berasaskan teknologi seperti Virtual Reality Taekwondo dan e-Sukan.

Pada masa sama, aktiviti fizikal seperti Senamrobik Perdana, Larian Ria MADANI dan Berjalan Ria MADANI turut dianjurkan.

Selain aktiviti sukan, pengunjung juga berpeluang mengunjungi reruai Jualan Rahmah serta menyertai cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik.

Nizam menyeru masyarakat di Tuaran dan kawasan sekitarnya supaya hadir beramai-ramai bagi memeriahkan sambutan dan mengambil bahagian dalam aktiviti yang disediakan.

HSN merupakan program tahunan yang mula dilaksanakan pada 2015 dan disambut pada setiap Sabtu minggu kedua bulan Oktober.

RELATED ARTICLES
Sukan

Malaysia tamat penantian 12 tahun tundukkan Vietnam

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular