Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Konvensyen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) 2026 akan berlangsung di Dewan Tun Mustapha, Kudat pada 18 Oktober ini, dengan penyertaan kira-kira 2,500 peserta daripada enam parti gabungan berkenaan.
Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, konvensyen itu akan menjadi platform untuk membincangkan hala tuju politik gabungan selain menilai pencapaian manifesto selepas hampir setahun GRS memperoleh mandat rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang lalu.
Katanya, konvensyen itu turut memberi ruang kepada menteri-menteri dalam kerajaan negeri untuk membentangkan hala tuju kementerian masing-masing, selain mendapatkan maklum balas daripada kepimpinan GRS di peringkat akar umbi.
“Konvensyen ini terasnya serampang dua mata, bukan hanya agenda politik tetapi juga agenda pembangunan negeri dan rakyat secara keseluruhannya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Menurut Armizan, pemilihan Kudat sebagai lokasi konvensyen tahun ini selaras dengan pendekatan baharu GRS untuk tidak lagi memusatkan penganjuran konvensyen di Kota Kinabalu, sebaliknya diadakan secara bergilir mengikut zon.
Beliau berkata, seluruh pimpinan GRS termasuk anggota Kabinet negeri akan turut mengadakan pelbagai program bersama rakyat sepanjang berada di Kudat, termasuk di Pulau Banggi.
“Jadi kita pimpinan, seluruh pimpinan akan turun ke Kudat bukan hanya untuk agenda politik tetapi setiap kementerian juga akan ada program masing-masing.
“Kita ingin meriahkan Kudat termasuk Pulau Banggi dengan program-program yang memberikan impak kepada rakyat,” katanya.
Armizan berkata, mesyuarat Majlis Tertinggi GRS kali ini turut menjadi yang pertama dengan kehadiran UPKO sebagai anggota gabungan keenam.
Katanya, penyertaan UPKO secara rasmi dalam GRS akan memperkukuhkan gabungan itu sebagai wadah parti-parti tempatan Sabah, bukan sahaja dari segi kekuatan politik tetapi juga dalam memperkukuh suara Sabah di peringkat Persekutuan.



