KUALA LUMPUR : Sebanyak 13 item perubahan reka bentuk melibatkan 10 Arahan Perubahan Kerja (APK) bernilai RM60.87 juta di WP01 dan WP02 Pan Borneo Sabah belum dilaksanakan ketika pemeriksaan susulan Audit pada 8 Mei 2026.
Dapatan itu melibatkan empat item dalam tiga APK bagi WP01, jajaran Sindumin–Kampung Melalia, serta sembilan item dalam tujuh APK bagi WP02, jajaran Kampung Melalia–Beaufort.
Menurut LKAN 2/2026, APK berkenaan diluluskan antara 23 Jun 2023 hingga 19 Mac 2025.
Audit mendapati pertikaian kadar harga, kelemahan komunikasi antara perunding dengan kontraktor serta kelewatan laporan teknikal menyumbang kepada kegagalan melaksanakan kerja.
Laporan turut menyatakan isu pertikaian hanya dibangkitkan secara terperinci kepada KKR pada 2026, selepas masalah pelaksanaan berlarutan bertahun-tahun.
JKR Sabah memaklumkan kontraktor enggan melaksanakan APK kerana kadar harga yang digunakan berasaskan harga 2017.
Menurut pelan pemulihan yang dimaklumkan KKR, WP01 dijangka siap pada Disember 2026 dan WP02 pada Mei 2028. Kontraktor juga diminta meneruskan kerja sementara pertikaian harga diselesaikan.
Sementara itu dua pakej Pan Borneo Sabah masih belum selesai walaupun kemajuan WP04 mencapai 98.3 peratus dan WP10 mencapai 99.7 peratus setakat 31 Mac 2026.
Menurut LKAN 2/2026, baki kerja merangkumi jambatan, hentian bas, perparitan, pembaikan cerun serta ujian dan pentauliahan kemudahan.
Di WP10, ujian tangki air, tandas dan surau di kawasan rehat belum dapat dilaksanakan kerana ketiadaan bekalan air dan elektrik.
Ganti rugi kelewatan atau LAD yang dikenakan setakat 31 Mac 2026 ialah RM9.17 juta bagi WP04 dan RM32.59 juta bagi WP10.
Audit mengaitkan kelewatan dengan prestasi kontraktor kurang memuaskan, kekurangan pekerja dan kelemahan koordinasi.
JKR Sabah memaklumkan tarikh siap WP04 dilanjutkan kepada 6 Oktober 2026.
Bagi WP10, perakuan pendudukan sebahagian dikeluarkan pada 30 Jun 2026 untuk seksyen jalan tertentu.
Namun, masalah utiliti kawasan rehat masih belum selesai dan kemudahan turut mengalami vandalisme. Laporan tidak mengesahkan keseluruhan LAD yang dikenakan telah dikutip.



