HomeUtamaSubsidi elektrik perlu diteruskan – Dr Joachim

Subsidi elektrik perlu diteruskan – Dr Joachim

Read Time:2 Minute, 5 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan wajar meneruskan subsidi elektrik kepada Sabah kerana negeri ini masih bergantung kepada pengeluar tenaga bebas (IPP), selain kos pengeluaran elektrik yang tinggi, kata Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Beliau berkata, tiada tempoh akhir khusus ditetapkan untuk Sabah menghentikan penerimaan subsidi elektrik Persekutuan, termasuk dakwaan bantuan itu perlu dihentikan menjelang 2030.

“Kita masih terlalu bergantung kepada IPP dan adalah wajar subsidi itu diteruskan. Jadi, memang saya bersetuju.

“Tiada tempoh akhir. Kita lihat bagaimana keadaannya. Kalau rakyat Sabah bersedia membayar lebih, kita boleh mengambil alih lebih awal. Tetapi kalau rakyat tidak bersetuju tarif dinaikkan, maka beginilah keadaannya. Kos pengeluaran elektrik bukan murah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Elektrik Orang Awam serta Minggu Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar Sabah Electricity di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini hari ini.

Dr Joachim dalam ucapan perasmiannya berkata, pada masa sama, aspek keselamatan elektrik perlu dijadikan budaya bersama dengan kesedaran dan tindakan bermula daripada setiap individu bagi mencegah kemalangan yang boleh mengancam nyawa.

Katanya, kempen keselamatan elektrik bukan sekadar program kesedaran, sebaliknya sebahagian daripada usaha lebih besar membentuk budaya keselamatan dalam kalangan masyarakat.

“Kalau ada kabel yang jatuh, jangan kita cuba mengalihkan kabel tersebut kerana tanpa disedari, tindakan itu juga boleh menjadi sangat berbahaya. Kalau tidak tahu apa yang perlu dilakukan, panggil pihak yang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai perlu mengelakkan sebarang tindakan berisiko termasuk bekerja berhampiran talian elektrik, menyentuh kabel terputus, membuat sambungan elektrik secara tidak sah serta menjalankan kerja pembinaan, penggalian dan pemangkasan pokok berhampiran pepasangan elektrik tanpa mengambil kira aspek keselamatan.

Katanya, kesilapan kecil boleh menyebabkan renjatan elektrik, kebakaran, gangguan bekalan malah kehilangan nyawa, justeru keselamatan perlu diberi keutamaan sebelum sebarang kerja atau penggunaan tenaga elektrik dilakukan.

“Keselamatan adalah tanggungjawab bersama. Kesedaran perlu bermula daripada diri kita sendiri. Selamatkan diri dahulu sebelum kita membantu orang lain,” katanya.

Dr Joachim berkata, ibu bapa, pemilik premis, kontraktor dan pemimpin masyarakat turut mempunyai peranan memastikan amalan keselamatan elektrik dipatuhi serta menyampaikan kesedaran kepada komuniti, khususnya di kawasan kampung.

Beliau berkata, kempen berkenaan juga penting susulan masih berlakunya kemalangan elektrik, termasuk yang mengakibatkan kehilangan nyawa, sekali gus menunjukkan keperluan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai risiko serta langkah pencegahan.

Mengulas harapan terhadap Belanjawan 2027, Dr Joachim berkata kerajaan negeri berharap peruntukan lebih besar dapat disalurkan kepada Sabah bagi menyokong keperluan pembangunan negeri, termasuk usaha memperkukuh infrastruktur elektrik.

Hadir sama pada majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Jaafar.

RELATED ARTICLES
Utama

LKAN 2/2026 : Kontrak balai bomba Merotai ditamatkan walaupun sudah 96.6...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular