HomeUtamaIbu Zara akui tidak pernah buat aduan kepada sekolah berhubung dakwaan buli

Ibu Zara akui tidak pernah buat aduan kepada sekolah berhubung dakwaan buli

Read Time:1 Minute, 40 Second

Oleh J Evachel John

KOTA KINABALU: Ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir mengakui tidak pernah membuat aduan kepada pihak sekolah berhubung dakwaan buli yang diceritakan anaknya ketika tinggal di asrama.

Noraidah Lamat berkata, Zara pernah bercerita kepadanya mengenai ejekan termasuk “sok-sok cantik”, “perasan cantik”, “pick me” dan “sok-sok badai”.

Menurutnya, ejekan itu bukan hanya berlaku di TikTok, malah Zara memberitahunya bahawa ada yang menjerit “Zara perasan cantik” ketika dia melintas di dewan makan atau koridor.

“Mungkin bagi orang biasa. Tapi terkesan untuk Zara. Sebab setiap kali kami bercerita pasal asrama, kisah asrama, mesti dia akan cakap, ‘Mereka tu mengejek-ngejek Zara’,” katanya ketika menjawab soalan daripada peguam Shahlan Jufri.

Noraidah berkata, dia sebenarnya berhasrat untuk memaklumkan perkara itu kepada pihak sekolah dan pernah memberitahu Zara bahawa dia mahu bercakap dengan warden.

Bagaimanapun, Zara memintanya supaya tidak berbuat demikian.
“Janganlah, mak. Nanti dia orang buat lagi tu dengan Zara. Dia orang tu badannya besar-besar, mak. Kalah lagi mama ni,” katanya memetik kata-kata Zara.

Noraidah berkata, dia berasa geram dengan apa yang diceritakan anaknya dan mahu memanggil mereka yang terlibat, namun Zara sekali lagi meminta supaya perkara itu tidak dilakukan kerana bimbang keadaan menjadi lebih teruk.

“Tak payahlah, mak. Nanti dia orang buat lagi teruk tu untuk Zara,” katanya.

Noraidah turut memberitahu mahkamah bahawa Zara pernah menghubunginya ketika berada di asrama dan mengadu mengenai satu insiden membabitkan seorang pelajar senior.

Bagaimanapun, dia juga tidak membuat aduan kepada pihak sekolah mengenai kejadian itu.

“Saya tidak membuat aduan, tuan. Sebab bagi saya, saya masih berfikiran positif lagi. Sebab sekolah tu sekolah agama, sekolah tersohor. Ada nama. Sekolah bekas sekolah saya dulu,” katanya.

Menurut Noraidah, ketika itu dia tidak terfikir keadaan di sekolah berkenaan terlalu serius.

Noraidah turut memberitahu mahkamah bahawa Zara pernah disuruh mengambil air panas untuk seorang pelajar senior yang mahu makan mi segera, selain disuruh seorang pelajar senior Tingkatan Lima membelikan makanan di kantin.

Menurutnya, Zara terpaksa menunggu lama di luar kelas kerana menghadapi kesukaran mencari pelajar berkenaan untuk menyerahkan makanan yang dibelinya.

RELATED ARTICLES
Utama

Felo SMJ tapak semaian kepimpinan masa depan Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular