Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Ibu Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner bahawa dia terkejut apabila seorang pengawal keselamatan asrama memberitahunya bahawa terdapat cakap-cakap anaknya “panjang tangan” atau mencuri.
Noraidah Lamat berkata, dia mengetahui mengenai perkara itu ketika berbual dengan pengawal keselamatan bernama Linah di pondok sekuriti asrama pada penghujung Mei 2025.
Katanya, dia biasa berbual dengan pengawal keselamatan berkenaan setiap kali menghantar Zara ke asrama dan wanita itu turut mengenali anaknya.
“Ketika kami bercerita, dia bilang, ‘Ini ke anakmu ni yang orang cakap-cakap dulu panjang tangan?’
“Saya terkejut, tuan. Saya betul-betul terkejut. ‘Hah? Zara Qairina panjang tangan? Mencuri?’” katanya ketika menjawab soalan peguam Shahlan Jufri.
Noraidah berkata, dia kemudian menunjukkan makanan yang dibelinya untuk Zara selain memberitahu pengawal keselamatan itu bahawa anaknya dibekalkan wang belanja RM70.
“Saya tunjuk lagi, ‘Tengok makanan dia. Plastik dia yang saya kasi beli ni. Ada bubur, ada roti.’
“Saya kata, ‘Macam-macam keropok pun ada. Duit belanjanya saya bagi dia RM70 ni. Saya bawa nota lagi di wallet dia, di beg duit dia ni.’
“Saya memang terkejut dengan dakwaan sekuriti tu,” katanya.
Menurut Noraidah, apabila Zara turun ke bawah, dia bertanya kepada anaknya mengenai perkara itu dan menyuruhnya membuat pembetulan kepada pengawal keselamatan berkenaan.
“Saya kata, ‘Makcik tu cakap Zara mencuri, Ra. Siapa yang cakap Zara mencuri? Ra mencuri ke? Mana ada Zara mencuri. Ra baik buat pembetulan dengan sekuriti tu yang Zara tidak mencuri.’
“Dia balik-balik cakap, ‘Zara mencuri? Ada banyak Zara lain mungkin. Ya, banyak Zara di asrama ni. Mana ada Zara mencuri. Duit Zara pun banyak.’ Itu yang dia cakap, tuan,” katanya.
Ditanya apa lagi yang diberitahu pengawal keselamatan itu selain mengenai dakwaan “panjang tangan”, Noraidah berkata itu sahaja yang diberitahu kepadanya mengenai perkara berkenaan.
Mahkamah turut diberitahu bahawa Zara sendiri pernah mengadu kepada ibunya mengenai kehilangan wang di asrama.
Menurut Noraidah, pada awal Februari, Zara memberitahunya mengenai kehilangan wang di musolla dan kejadian itu turut terdapat dalam rakaman perbualan telefon mereka.
“Ya, pernah, tuan. Pada awal bulan Februari, ketika di musolla , itu pun semua ada dalam rakaman telefon. Kehilangan duit. Kehilangan duit murid-murid lain.
“Itu saya tidak ada buat aduan juga kepada warden. Sebab saya selalu bagi tahu Zara, mungkin yang curi duit itu orang susah,” katanya.
Noraidah berkata, dia cuba memujuk Zara ketika itu dan menyarankan anaknya meminjam RM2 daripada seorang senior yang disifatkan Zara sebagai baik kerana hanya berbaki sehari lagi Zara berada di asrama.



