HomeUtamaLima cedera parah, kemalangan tiga kenderaan di Jalan Andus

Lima cedera parah, kemalangan tiga kenderaan di Jalan Andus

Read Time:1 Minute, 18 Second

PAPAR: Lima daripada lapan mangsa cedera parah dalam kemalangan membabitkan sebuah Perodua Bezza, Isuzu D-Max dan motosikal di Jalan Andus, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.24 pagi itu, empat mangsa dalam Perodua Bezza dan penunggang motosikal mengalami kecederaan parah, manakala tiga lagi mangsa dalam Isuzu D-Max cedera ringan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 7.24 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 7.38 pagi, kira-kira 15 kilometer dari balai, dan mendapati kemalangan membabitkan tiga kenderaan.

“Kemalangan berlaku ketika Perodua Bezza membuat pusingan U sebelum bertembung dengan dua kenderaan lain.

“Terdapat lapan mangsa terlibat dan kesemuanya berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, empat mangsa dalam Perodua Bezza terdiri daripada lelaki berusia 36, 48, 27 dan 15 tahun, yang kesemuanya mengalami kecederaan parah.

Katanya, tiga mangsa dalam Isuzu D-Max masing-masing lelaki berusia 50, 36 dan 39 tahun mengalami kecederaan ringan, manakala penunggang motosikal lelaki berusia 33 tahun mengalami kecederaan parah.

Kesemua mangsa dihantar ke hospital menggunakan jentera Emergency Medical Rescue Services (EMRS) bomba, ambulans Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Operasi turut dibantu anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Operasi ditamatkan pada jam 8.13 pagi selepas pemeriksaan dijalankan dan keadaan di lokasi disahkan selamat tanpa sebarang bahaya lain.

RELATED ARTICLES
Utama

Tawau catat kualiti udara tidak sihat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular