KOTA KINABALU: Orang ramai dinasihatkan supaya meningkatkan kewaspadaan terhadap risiko banjir kilat, kepala air dan pokok tumbang susulan bermulanya fasa peralihan monsun yang dijangka bermula Jumaat ini.
Ketua Pengarahnya, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, fasa peralihan monsun dijangka berlangsung sehingga penghujung Oktober dan menyaksikan keadaan angin lemah dari pelbagai arah di seluruh negara.
Beliau berkata, keadaan itu berpotensi menggalakkan pembentukan awan ribut petir yang boleh menghasilkan hujan lebat, kilat serta angin kencang dalam tempoh singkat.
Katanya, kejadian berkenaan lazimnya berlaku terutama pada waktu petang dan awal malam.
“Kawasan yang berpotensi terjejas termasuk kebanyakan kawasan barat dan pedalaman Semenanjung serta barat Sabah dan Sarawak.
“Fenomena cuaca ini berpotensi menyebabkan banjir kilat, kepala air, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh,” katanya dalam kenyataan di sini.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya yang tinggal di kawasan berisiko dinasihatkan supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga ketika berlaku hujan lebat dan ribut petir.
Orang ramai juga disaran merancang aktiviti luar dengan mengambil kira keadaan cuaca, selain mengelak berada di kawasan terbuka atau berhampiran sungai ketika hujan lebat dan ribut petir.
Dalam pada itu, bermulanya fasa peralihan monsun turut menandakan berakhirnya musim Monsun Barat Daya yang bermula pada 14 Mei 2026.
Mohd Hisham berkata, perubahan arah pergerakan angin susulan berakhirnya Monsun Barat Daya dijangka menyebabkan kesan jerebu rentas sempadan dari negara jiran beransur-ansur berkurangan.
Orang ramai disaran mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan cuaca dan sebarang amaran yang dikeluarkan melalui laman web rasmi MET Malaysia, aplikasi myCuaca serta media sosial rasmi jabatan berkenaan.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan kepada Hotline MET Malaysia di talian 1-300-22-1638.
MET Malaysia turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca sepanjang tempoh peralihan monsun bagi mengurangkan risiko kejadian tidak diingini.



