HomeUtama14 pelajar ditahan, gaduh di Taman Ambar

14 pelajar ditahan, gaduh di Taman Ambar

Read Time:1 Minute, 48 Second

TAWAU: Polis menahan 14 pelajar lelaki berusia antara 12 hingga 14 tahun bagi membantu siasatan berhubung kejadian pergaduhan di Taman Permainan Taman Ambar, Jalan Kuhara, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh berkata, kejadian kira-kira jam 6 petang pada 6 Oktober itu dilaporkan selepas polis menerima maklumat mengenai pergaduhan membabitkan sekumpulan pelajar.

Katanya, hasil siasatan dan tindakan mengesan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada 7 Oktober membawa kepada penahanan kesemua 14 individu berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara dua pelajar sebelum perkara itu menjadi pergaduhan yang kemudiannya melibatkan beberapa pelajar lain.

“Rakaman video kejadian yang tular di media sosial turut membantu pihak polis mengenal pasti individu yang terlibat serta menentukan peranan masing-masing dalam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Rosdi berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit iPhone 13 dan sebuah basikal berwarna hitam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan.

Menurutnya, salah seorang individu yang ditahan dipercayai warga asing dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah.

“Kes berkaitan individu terbabit disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala kes pergaduhan disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi menentukan penglibatan serta peranan setiap individu yang ditahan,” katanya.

Beliau berkata, polis turut mendapatkan rakaman video asal, merakam percakapan saksi, mendapatkan laporan perubatan mangsa serta bekerjasama dengan pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah Tawau bagi membantu siasatan.

Rosdi turut memberi amaran bahawa sebarang tindakan merusuh, menyerang individu lain atau menggunakan apa-apa objek sebagai senjata merupakan kesalahan serius dan tidak akan dikompromi.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Robiatul Adawiyah Japri di talian 016-918 9402 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya memantau pergaulan serta tingkah laku anak-anak, selain mengingatkan pelajar agar tidak terlibat dalam pergaduhan, melakukan provokasi atau menyertai kumpulan yang boleh membawa kepada perlakuan jenayah.

Polis menegaskan tindakan tegas mengikut undang-undang akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati terlibat dalam kejadian berkenaan.

RELATED ARTICLES
Utama

KPM arah institusi pendidikan ditutup jika IPU melebihi 180

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular