HomeUtama36 anak Sabah terpilih sertai Felo SMJ 5.0

36 anak Sabah terpilih sertai Felo SMJ 5.0

Read Time:1 Minute, 56 Second

KOTA KINABALU: Seramai 36 anak muda Sabah terpilih menyertai program Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) 5.0 yang bertujuan memberi pendedahan dan pengalaman kepada golongan itu dalam membina kerjaya serta memperkasakan modal insan negeri.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, peserta terlibat dipilih daripada kira-kira 200 individu yang memohon untuk menyertai program berkenaan.

Katanya, seramai 80 calon telah disenarai pendek sebelum mereka melalui pelbagai proses pemilihan termasuk saringan, latihan dan simulasi.

“Pada hari ini, kita telah menyaksikan penyerahan watikah penempatan kepada 36 Felo SMJ yang terpilih daripada kira-kira 200 orang yang memohon untuk menyertai program ini.

“Kita sudah senarai pendekkan sehingga 80 calon dan selepas melalui proses penapisan, latihan, simulasi dan sebagainya, kita memilih 36 Felo yang berjaya dalam kalangan anak-anak Sabah,” katanya

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Penyampaian Watikah Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) 5.0 di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, di sini pada Rabu.

Majlis disempurnakan Ketua Menteri Datuj Seri Hajiji Noor.

Nizam berkata, program Felo SMJ yang diperkenalkan sejak 2022 itu merupakan antara inisiatif penting dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), khususnya dalam usaha memperkasakan modal insan.

Beliau berkata, program itu memberi manfaat kepada golongan muda Sabah, terutama graduan baharu universiti atau mereka yang masih menunggu konvokesyen.

Nizam berkata, Felo SMJ 5.0 perlu memanfaatkan sepenuhnya ruang dan peluang yang disediakan menerusi program itu untuk meningkatkan keupayaan diri serta memahami selok-belok dunia kerjaya.

“Mereka bukan lagi pelajar universiti, tetapi mereka yang telah berada di dunia realiti. Kita berharap mereka akan menjadi anak Sabah yang berjaya dalam kerjaya mereka,” katanya.

Beliau turut berharap peserta dapat membangunkan kualiti kepimpinan selain meletakkan kepentingan negeri, rakyat dan pembangunan Sabah sebagai antara keutamaan dalam membina kerjaya masing-masing.

Nizam berkata, pengalaman serta tunjuk ajar yang diterima menerusi program itu diharap dapat menjadi asas kepada peserta untuk berkembang sebagai pemimpin pada masa hadapan.

“Saya yakin, sekiranya mereka dapat mengikuti segala tunjuk ajar dan panduan yang diberikan, mereka ini satu hari nanti akan menjadi pemimpin-pemimpin yang boleh kita sandarkan pada masa depan bagi meneruskan apa juga kecemerlangan yang kita kecapi pada hari ini,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah atas ilham dan inisiatif mewujudkan program Felo SMJ yang disifatkan sebagai antara platform penting dalam pembangunan anak muda negeri.

RELATED ARTICLES
Utama

Laporan LKAN 2026 : Sebanyak 19 Pakej Pan Borneo Sabah mula...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular