HomeUtamaKKM umum kuota 30 peratus latihan kepakaran untuk doktor di Sabah, Sarawak

KKM umum kuota 30 peratus latihan kepakaran untuk doktor di Sabah, Sarawak

Read Time:2 Minute, 29 Second

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melaksanakan kuota khusus sebanyak 30 peratus bagi program latihan kepakaran kepada pegawai perubatan yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah itu merupakan antara usaha kementerian untuk menggalakkan lebih ramai pegawai perubatan melapor diri dan berkhidmat di kedua-dua negeri berkenaan.

Menurut beliau, daripada keseluruhan 1,650 tempat Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) yang tersedia ketika ini, kira-kira 30 peratus atau hampir 500 tempat akan dikhususkan kepada pegawai perubatan yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak.

“Saya telah mengarahkan KKM untuk meneliti dan seterusnya melaksanakan kuota khusus sebanyak 30 peratus bagi lanjutan kepakaran untuk mereka yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak.

“Ini komitmen saya bagi mengangkat martabat serta menghargai pengorbanan para pegawai perubatan kita di Sabah dan Sarawak,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai jumlah pegawai perubatan yang gagal melaporkan diri di Sabah dan Sarawak serta punca dan langkah mengatasi isu berkenaan.

Dzulkefly berkata, sehingga kini seramai 337 daripada 527 pegawai perubatan yang ditawarkan pelantikan tetap telah melapor diri di Sarawak, manakala di Sabah seramai 336 daripada 528 pegawai yang ditawarkan berbuat demikian.

“Secara keseluruhannya, peratus pegawai perubatan yang melapor diri di Sabah dan Sarawak adalah 63 peratus daripada jumlah penempatan yang ditawarkan.

“Walaupun terdapat sedikit peningkatan berbanding 2025, saya tidak berasa selesa dengan prestasi yang ada,” katanya.

Menurut beliau, antara alasan pegawai menolak tawaran penempatan di Sabah dan Sarawak termasuk faktor jarak dengan keluarga, tidak bersedia bertugas di kawasan luar bandar serta lebih berminat untuk berkhidmat di fasiliti kesihatan di kawasan bandar.

Selain itu, katanya, terdapat pegawai berpandangan peluang kerjaya di kawasan luar bandar dan pedalaman adalah terhad, selain faktor menjaga keluarga, masalah kesihatan, logistik, kewangan peribadi serta kos perpindahan yang tinggi.

“Kurang peluang untuk melanjutkan pengajian kepakaran jika ditempatkan di Sabah dan Sarawak serta kerisauan mengenai hala tuju kerjaya dan peluang untuk bertukar semula ke Semenanjung atau wilayah asal juga menjadi antara faktor,” katanya.

Dalam pada itu, Dzulkefly berkata KKM turut menambah baik kaedah penempatan pegawai perubatan pelantikan tetap menerusi peningkatan sistem e-Housemen.

Katanya, keputusan penempatan juga akan dikeluarkan lebih awal bagi membolehkan pegawai membuat persediaan mencukupi sebelum melapor diri.

“Semasa bertukar kembali ke wilayah asal, pegawai perubatan juga layak menerima elaun gangguan atau disturbance allowance dengan kadar sebulan gaji hakiki pegawai,” katanya.

Beliau berkata, KKM turut memberikan merit tambahan kepada pegawai perubatan yang pernah berkhidmat di Sabah dan Sarawak dalam pertimbangan tawaran program latihan kepakaran dan cuti belajar.

Sementara itu, Dzulkefly mengakui kementerian mengambil serius isu kekurangan sumber manusia, tenaga kepakaran dan fasiliti kesihatan di Sabah serta Sarawak.

Katanya, beliau sendiri telah melakukan 16 lawatan ke Sabah pada tahun lalu bagi meninjau keadaan hospital dan fasiliti kesihatan di negeri berkenaan.

“Saya sedar sementara saya memandang kepada beberapa hospital contohnya kita punya sifar, kosong penempatan pegawai, antaranya di Keningau, Pitas dan Kunak.

“Hospital-hospital ini hampir semua saya telah lawat dan perkara itu sangat saya insafi,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Isu doktor enggan lapor diri ke Sabah, Sarawak antara tumpuan Dewan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular