HomeUtamaDua beranak maut dihempap kontena, pemandu lori treler ditahan

Dua beranak maut dihempap kontena, pemandu lori treler ditahan

Read Time:1 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Pemandu lori treler berusia 49 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kemalangan yang mengorbankan dua beranak selepas kereta Toyota Avanza dinaiki mereka dihempap kontena di Jalan Sepanggar, berhampiran Pelabuhan Sepanggar, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.20 petang pada 18 Oktober itu, kedua-dua mangsa, lelaki berusia 53 tahun dan anak perempuannya berusia 24 tahun, tersepit di dalam kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, kemalangan berlaku ketika pemandu lori treler terbabit sedang memunggah kontena yang diletakkan di bahu kiri jalan untuk dinaikkan ke atas treler.

Menurutnya, ketika proses itu berlangsung, sebuah Toyota Avanza sedang melalui lorong kanan jalan sebelum kontena berkenaan hilang keseimbangan, terjatuh ke sebelah kanan dan menghempap kereta terbabit.

“Kedua-dua mangsa tersepit di dalam kenderaan sebelum berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba kira-kira jam 9.55 malam.

“Mereka kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Likas pada jam 9.58 malam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk bedah siasat.

Shahrudin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, polis turut menjalankan siasatan lanjut, termasuk mengesan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mendapatkan keterangan saksi bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Brymenedren Godon, menerusi talian 010-7768802 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Shahrudin turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengutamakan keselamatan ketika berada di jalan raya.

RELATED ARTICLES
Utama

Sabah, Sarawak dan Brunei berpotensi jadi pintu masuk pasaran ASEAN

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular