KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud, mahu langkah sewajarnya diambil bagi memastikan tragedi kemalangan membabitkan kenderaan berat di kawasan Sepanggar tidak berulang.
Beliau berkata, siasatan menyeluruh perlu dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa berkaitan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian yang meragut nyawa dua beranak selepas kenderaan dinaiki mereka dihempap sebuah kontena di Jalan Sepanggar, berhampiran Pelabuhan Sepanggar, petang semalam.
Menurutnya, aspek keselamatan pengendalian kontena perlu turut diteliti bagi memastikan segala prosedur dan peraturan berkaitan dipatuhi demi melindungi keselamatan pengguna jalan raya.
“Dalam masa yang sama, saya menyeru untuk memberikan ruang sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berwajib menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian, termasuk aspek keselamatan pengendalian kontena, agar langkah sewajarnya dapat diambil demi menjamin keselamatan awam dan mengelakkan tragedi seumpama ini berulang,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mustapha turut menegaskan bahawa mana-mana pihak yang didapati melakukan kecuaian atau tidak mematuhi peraturan perlu dipertanggungjawabkan sekiranya perkara itu dibuktikan melalui siasatan.
“Jika ada elemen kecuaian dan ‘non-compliance’ yang melibatkan mana-mana pihak, saya akan pastikan mereka yang terlibat dipertanggungjawabkan.
“Cukuplah insiden kemalangan melibatkan kenderaan berat ini berulang di Sepanggar,” katanya.
Dalam kejadian itu, dua beranak, Allahyarham Mohd Jadi Pelbi, 53, dan anak perempuannya, Allahyarhamah Norfaieza Mohd Jadi, 24, dilaporkan maut selepas kenderaan dinaiki mereka dihempap sebuah kontena.
Mustapha berkata, beliau amat sedih dengan tragedi berkenaan dan merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang kehilangan dua insan tersayang dalam kejadian itu.
Beliau turut meminta Pusat Khidmat Parlimen Sepanggar menziarahi keluarga mangsa bagi mengenal pasti keperluan mereka, termasuk membantu menyemak dan menguruskan sebarang bentuk bantuan serta pampasan yang layak diterima waris.
Menurutnya, keutamaan ketika ini adalah memastikan keluarga mangsa mendapat pembelaan dan sokongan sewajarnya, selain menunggu hasil siasatan pihak berkuasa bagi menentukan punca kejadian.
Beliau berharap tragedi berkenaan menjadi perhatian serius semua pihak supaya aspek keselamatan pengendalian kenderaan berat dan kontena sentiasa diberi keutamaan bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan.



