HomeUtamaDakwaan Menteri Terima RM9.5 juta Kenyataan Politik Tanpa bukti — Anwar

Dakwaan Menteri Terima RM9.5 juta Kenyataan Politik Tanpa bukti — Anwar

Read Time:2 Minute, 18 Second

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan dakwaan seorang menteri menerima RM9.5 juta bagi menyelesaikan isu berkaitan kegiatan mafia korporat sebagai kenyataan politik yang tidak disandarkan kepada bukti.

Anwar berkata, menteri berkenaan sudah menjawab serta mencabar dakwaan itu, selain membawa perkara berkenaan melalui saluran mahkamah.

“Yang dibangkitkan tentang menteri RM9.5 juta, itu kenyataan politik tidak disandarkan apa-apa keterangan, dan menteri berkenaan telah pun mencabar dan menjawab dan bawa urusan itu ke mahkamah,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai perkembangan siasatan terhadap individu yang didakwa terlibat dalam kegiatan mafia korporat, termasuk dakwaan membabitkan seorang menteri.

Ketika mengemukakan soalan itu, Rosol merujuk dakwaan dalam sebuah podcast yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Pandan mengenai seorang menteri yang didakwa menerima RM9.5 juta bagi membantu menyelesaikan urusan berkaitan kegiatan berkenaan.

Rosol turut menyebut nama Victor Chin, Farhash dan Azam Baki ketika meminta penjelasan mengenai sejauh mana siasatan dijalankan terhadap individu yang dikaitkan dengan isu itu.

Beliau juga mempersoalkan sama ada siasatan turut merangkumi menteri yang didakwa terbabit serta meminta penjelasan mengenai sifat bayaran berkenaan.

Menjawab persoalan itu, Anwar menegaskan siasatan diteruskan apabila terdapat dakwaan, tanpa mengecualikan mana-mana pihak. Bagaimanapun, beliau berkata, seseorang tidak wajar dihukum ketika proses siasatan masih berjalan.

Perdana Menteri berkata, tindakan penguatkuasaan tidak akan mengecualikan individu berdasarkan keahlian politik, termasuk anggota partinya sendiri.

Menurutnya, terdapat kes pendakwaan yang membabitkan ahli Parti Keadilan Rakyat dan beliau tidak menggunakan kuasanya untuk menghalang tindakan berkenaan.

Beliau turut merujuk tindakan terhadap bekas setiausaha politiknya sebagai contoh bahawa proses penguatkuasaan tidak dihalang walaupun membabitkan individu yang pernah berkhidmat dengannya.

Anwar turut membangkitkan pengendalian kes korporat terdahulu, termasuk Serba Dinamik, yang menurutnya tidak diambil tindakan sewajarnya meskipun membabitkan kerugian besar kepada syarikat dan pemegang saham.

“Saya kalau disebut ada kes, saya tidak tutup. Kalau ada bukti, dedahkan,” katanya.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan, mengenai sama ada pihak yang disifatkan sebagai “mafia korporat” akan dilindungi, Anwar mahu bukti dikemukakan dan pendedahan menyeluruh dibuat.

Beliau berkata, perkara itu turut merangkumi isu yang menyebut nama Victor Chin, Farhash dan Azam Baki.

“Apa yang disebut ada bukti, keluarkanlah. Tidak kira yang disebut nama Azam Baki, Farhash, Victor Chin,” katanya.

Menurut Anwar, beliau sudah meminta Peguam Negara mengetuai pasukan petugas yang melibatkan agensi penguatkuasaan bagi memperkemas penyelarasan dan menyediakan laporan lengkap dalam tempoh tiga bulan.

Antara agensi yang disebut ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perdana Menteri berkata, laporan itu akan didedahkan kepada umum bagi memastikan ketelusan serta menjawab tanggapan bahawa terdapat pihak yang dilindungi.

“Ini laporan kerajaan. Maka saya minta laporan itu didedahkan kepada awam,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

AI dan mekanisasi mampu tarik minat anak muda ceburi pertanian, akuakultur...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular