TAWAU: Seorang wanita berusia 21 tahun maut manakala seorang lagi mangsa cedera selepas kereta Perodua Myvi dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar pokok di Bulatan Airport Lama, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.29 pagi itu, wanita berkenaan dilaporkan tersepit di bahagian pemandu, manakala seorang lagi mangsa mengalami kecederaan.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, sebaik menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi pada jam 2.34 pagi pasukan bomba menjalankan operasi mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan khas menyelamat.
“Mangsa berjaya dikeluarkan pada jam 2.50 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Sementara itu, mangsa yang cedera seorang lelaki telah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba dan ambulans KKM.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.31 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya.



