BEAUFORT: Festival Kesenian Bagandang Daerah Beaufort kembali dianjurkan selepas kali terakhir diadakan pada 2016, dengan edisi tahun ini menyasarkan kehadiran sekurang-kurangnya 5,000 pengunjung.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Isnin Aliasnih berkata, festival berkenaan akan berlangsung selama empat hari bermula 29 Oktober dan 1 November 2026.
Beliau yang juga pengerusi jawatankuasa penganjur berkata, festival itu dijadual akan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Musa Aman pada 31 Oktober.
“Penganjuran semula festival ini adalah bertujuan menghidupkan kembali suasana serta tradisi kesenian Bagandang yang sinonim dengan masyarakat Beaufort, selain memperkenalkannya kepada masyarakat di seluruh Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini pada Rabu.
Hadir sama, Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharam, Pegawai Daerah Beaufort, Mohd. Nazri Ajun dan Ketua Polis Daerah Beaufort, Supt. Champin Piuh.
Isnin berkata, penganjuran itu juga dilihat bertepatan dengan persiapan menyambut Tahun Melawat Sabah 2027 (VM2027), sekali gus membuka peluang untuk menarik lebih ramai pelancong dan pengunjung ke daerah berkenaan.
“Perayaan ini kita kembalikan setelah lama tertangguh. Saya ingat bermula pada 2016, ia tertangguh begitu lama.
“Jadi kali ini, bagi pihak jawatankuasa, kita rancangkan semula supaya kita dapat menghidupkan suasananya untuk diperlihatkan kepada masyarakat dan rakyat, sempena Tahun Melawat Sabah 2027,” katanya.
Beliau berkata, pelbagai program dan jualan akan diadakan sepanjang festival, dengan pertandingan Bagandang menjadi antara acara utama yang mengetengahkan seni dan budaya yang sinonim dengan masyarakat Beaufort.
Katanya, setakat ini lebih 30 kumpulan dijangka mengambil bahagian dalam pertandingan Bagandang.
“Kita mengharapkan orang awam dan orang ramai datang ke Beaufort, lawatlah kami, ziarahlah kami dan kita ramaikan sama-sama untuk merayakan festival ini,” katanya.
Mengulas sasaran kehadiran, beliau berkata pihak penganjur tidak menetapkan jumlah yang terlalu tinggi memandangkan festival berkenaan baru dihidupkan semula selepas sekian lama tertangguh.
Bagaimanapun, katanya, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 5,000 pengunjung sepanjang penganjuran tahun ini.
“Kita baru kembalikan suasana itu, maka mungkin tidak banyak program yang akan kita buat. Insya-Allah pada masa akan datang akan kita rancang lebih cantik lagi,” katanya.
Beliau berkata, idea untuk menghidupkan semula Festival Kesenian Bagandang itu turut mempunyai kaitan dengan cetusan idea Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, ketika beliau menjadi Ketua Menteri Sabah.
Katanya, Yang di-Pertua Negeri Sabah menyambut baik usaha untuk mengembalikan penganjuran festival berkenaan selepas dimaklumkan mengenai perancangan tersebut.
“Idea ini juga adalah cita rasa yang lahir daripada Tuan Yang Terutama Tun sendiri semasa Tun menjadi Ketua Menteri Sabah.
“Jadi apabila kita persembahkan kepada Tun pada hari ini, beliau amat gembira sekali,” katanya.
Beliau berkata, penganjuran festival itu diharap dapat menjadi platform untuk mengetengahkan seni dan budaya tempatan, selain merancakkan aktiviti ekonomi masyarakat setempat menerusi jualan dan pelbagai program yang disediakan.



