Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Orang ramai di negeri ini diminta merujuk pihak berkuasa agama yang berwibawa sekiranya mempunyai keraguan terhadap mana-mana ajaran yang disampaikan bagi mengelakkan kekeliruan dan pengaruh ajaran sesat.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr Mohd Ariffin Mohd Arif berkata, orang ramai boleh mendapatkan pengesahan daripada agensi agama berkaitan termasuk Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) atau Pejabat Mufti Negeri Sabah.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan sesuatu ajaran dinilai berdasarkan keputusan pihak berkuasa agama yang berkenaan dan bukan berdasarkan tanggapan atau dakwaan individu.
“Apabila kita ragu-ragu terhadap mana-mana ajaran yang datang kepada kita, maka kita jangan juga ragu-ragu untuk merujuk terus kepada pihak yang berwibawa, MUIS, JHEAINS yang ada di seluruh daerah, kemudian Pejabat Mufti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan penyerahan sumbangan 13 van jenazah daripada MUIS, di sini pada Jumaat.
Arifin yang juga Exco Agama Sabah turut mengingatkan orang ramai supaya menyemak latar belakang individu yang datang menyampaikan ceramah agama atau mengaku sebagai pendakwah dan aktivis agama sebelum menerima ajaran yang disampaikan.
Menurutnya, Sabah telah lama menguatkuasakan keperluan tauliah pengajaran agama bagi memastikan individu yang ingin menyampaikan ajaran Islam mematuhi ketetapan pihak berkuasa agama negeri.
Katanya, pendakwah yang ingin menyampaikan ajaran Islam perlu mendapatkan tauliah daripada JHEAINS, manakala proses temu duga dilaksanakan oleh Pejabat Mufti Negeri Sabah.
“Ini antara usaha yang perlu kita laksanakan untuk membendung mana-mana ajaran menyeleweng yang boleh dikategorikan sebagai menyeleweng,” katanya.
Dalam pada itu, Arifin menegaskan bahawa orang ramai tidak seharusnya sewenang-wenangnya melabel sesuatu ajaran sebagai sesat atau menyeleweng tanpa merujuk keputusan pihak berkuasa agama yang diiktiraf.
Katanya, pengesahan berhubung status sesuatu ajaran perlu dibuat oleh pihak berkuasa agama yang berautoriti, termasuk MUIS, JHEAINS dan Pejabat Mufti Negeri Sabah.
Justeru, masyarakat digesa menjadikan institusi agama berkenaan sebagai sumber rujukan utama apabila berdepan ajaran atau fahaman yang menimbulkan keraguan. SABAH MEDIA



