TAWAU: Lebih 300 penduduk daripada 24 kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Balung menyertai Program Kempen Keselamatan Elektrik Orang Awam anjuran Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) di Dewan Terbuka, Taman Kinabutan Ria, di sini, hari ini.
Program itu bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya elektrik, amalan penggunaan elektrik yang selamat serta langkah pencegahan bagi mengelakkan kemalangan yang boleh mengancam nyawa dan harta benda.
Ia dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Syed Ahmad Syed Abas, yang turut menegaskan bahawa keselamatan elektrik merupakan aspek penting dalam memastikan kesejahteraan dan keselamatan masyarakat.
Menurut beliau, pembangunan sesebuah kawasan bukan sahaja diukur berdasarkan kemajuan infrastruktur dan ekonomi, tetapi juga tahap keselamatan masyarakat serta keupayaan melindungi keluarga daripada pelbagai risiko.
Beliau turut menyambut baik usaha Sabah Electricity mendekati masyarakat menerusi program kesedaran, sambil menekankan bahawa tanggungjawab menjaga keselamatan elektrik memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk ibu bapa, golongan belia, pemimpin kampung dan persatuan penduduk.
“Tanggungjawab menjaga keselamatan elektrik bukan hanya terletak pada pihak utiliti, sebaliknya memerlukan penglibatan semua pihak. Kesedaran perlu dipupuk dalam kehidupan seharian agar masyarakat tidak mengambil mudah risiko elektrik, selain berani menegur tindakan berbahaya dan melaporkan ancaman keselamatan kepada pihak berkaitan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Perkhidmatan Korporat Sabah Electricity, Junainah Abbie, berkata keselamatan elektrik bukan sahaja bergantung pada keadaan bekalan dan pepasangan, tetapi turut dipengaruhi tindakan serta keputusan pengguna ketika berhadapan dengan situasi berbahaya.
“Keselamatan elektrik memerlukan kesedaran dan tindakan yang betul daripada setiap lapisan masyarakat. Melalui pendekatan pendidikan di sekolah dan program bersama komuniti, Sabah Electricity mahu membantu orang ramai mengenali risiko elektrik, mengelakkan amalan berbahaya serta mengambil tindakan sewajarnya apabila berhadapan dengan situasi yang boleh mengancam keselamatan,” katanya.
Dalam usaha memperluas penyampaian mesej keselamatan, Sabah Electricity turut mengadakan Program Keselamatan Elektrik di Sekolah Kebangsaan (SK) Muhibbahraya pada 23 Oktober lalu, yang melibatkan 570 peserta terdiri daripada 520 pelajar, 40 guru dan 10 kakitangan pentadbiran.
Program berkenaan menggunakan pendekatan pendidikan sejak usia muda bagi membantu pelajar memahami bahaya elektrik, mengamalkan langkah keselamatan serta lebih peka terhadap risiko dalam kehidupan seharian.
Hebahan keselamatan elektrik turut diteruskan pada malam sama di Pasar Malam Jalan Chester bagi menyampaikan maklumat berkaitan kepada orang ramai dalam suasana santai.
Menerusi pendekatan di sekolah, komuniti dan lokasi tumpuan awam, Sabah Electricity berharap kesedaran mengenai keselamatan elektrik dapat diperluas dan diterapkan sebagai amalan dalam kehidupan seharian.
Orang ramai turut digalakkan supaya sentiasa mengutamakan keselamatan ketika menggunakan elektrik, mengelakkan tindakan berbahaya serta melaporkan sebarang ancaman keselamatan melalui saluran rasmi yang ditetapkan.



