HomeUtamaZero Waste, Roadshow KUGGp tingkat kesedaran pemuliharaan alam di Ranau

Zero Waste, Roadshow KUGGp tingkat kesedaran pemuliharaan alam di Ranau

Read Time:1 Minute, 42 Second

RANAU: Program Zero Waste dan Roadshow Kinabalu UNESCO Global Geopark (KUGGp) mampu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemuliharaan alam sekitar, warisan alam serta pembangunan mampan.

Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam berkata, penganjuran kedua-dua program berkenaan bukan sahaja memberi pendidikan berkaitan alam sekitar, malah menterjemahkannya menerusi tindakan di lapangan seperti aktiviti gotong-royong dan taklimat berkaitan geopark.

“Program Zero Waste menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup lebih bertanggungjawab dalam pengurusan sisa.

“Manakala Roadshow Geopark pula memperluas pengetahuan masyarakat mengenai nilai geologi, biodiversiti, warisan budaya serta kepentingan geopark kepada pembangunan daerah.

“Zero Waste menekankan usaha mengurangkan penghasilan sisa dari punca, menggunakan semula barangan yang masih boleh dimanfaatkan, mengasingkan bahan buangan dan meningkatkan amalan kitar semula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Zero Waste dan Roadshow Kinabalu UNESCO Global Geopark Daerah Ranau Tahun 2026 di Dewan Masyarakat Ranau, di sini.

Tinus turut menyeru masyarakat Ranau menjadikan amalan menjaga kebersihan sebagai budaya dan bukan sekadar dilaksanakan ketika program gotong-royong.

“Saya menyeru agar masyarakat Ranau menjadikan kebersihan sebagai amalan harian di rumah, tempat kerja, kawasan perniagaan, kawasan pelancongan dan seluruh persekitaran kampung kita,” katanya.

Menurutnya, pemuliharaan alam sekitar bukan penghalang kepada pembangunan, sebaliknya menjadi asas bagi memastikan pembangunan dilaksanakan secara bertanggungjawab dan lestari.

“Kinabalu UNESCO Global Geopark bukan sekadar pengiktirafan atau gelaran, tetapi merupakan pendekatan yang menghubungkan pemuliharaan warisan, pendidikan dan pembangunan sosioekonomi komuniti.

“Melalui geopark, masyarakat diberi peluang mengenali sejarah bumi, memahami keunikan landskap setempat serta menghargai hubungan antara geologi, biodiversiti dan budaya masyarakat,” katanya.

Beliau berharap program berkenaan dapat membuka lebih banyak ruang kepada masyarakat untuk mengenali KUGGp serta memahami peranan masing-masing dalam usaha pemuliharaan alam sekitar dan pembangunan mampan.

Program itu disertai kira-kira 300 peserta terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti setempat, pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan kakitangan Taman-Taman Sabah.

Antara pengisian program ialah taklimat warisan geologi oleh Profesor Emeritus Dr Felix Tongkul, taklimat pendidikan alam sekitar dan kesedaran awam oleh sukarelawan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA), serta taklimat mengenali KUGGp oleh Pegawai Penyelidik Geologi Taman-Taman Sabah, Noorannezza Junsin.

RELATED ARTICLES
Utama

Karnival KITA perkaya pengalaman pembelajaran 800 murid SMK Kolombong

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular