HomeUtamaSabah perkasa bahasa kebangsaan dalam era digital, AI

Sabah perkasa bahasa kebangsaan dalam era digital, AI

Read Time:2 Minute, 46 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus mempergiat usaha memartabatkan bahasa kebangsaan dalam mendepani cabaran era digitalisasi dan kecerdasan buatan (AI), termasuk memperluas penggunaannya di tempat awam serta memperkukuh pematuhan dalam urusan rasmi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata usaha itu turut merangkumi pemerkasaan seni pantun dan tulisan Jawi, penyelidikan bahasa serta sastera etnik, selain pengembangan industri buku yang menampilkan karya penulis Sabah.

“Saya juga mahu melihat anak-anak muda Sabah, pempengaruh digital dan penggiat industri kreatif tempatan memanfaatkan teknologi bagi menyuburkan penggunaan bahasa kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) 2026 Peringkat Negeri Sabah di Dewan Amil Jaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, di sini, pada Selasa.

Hajiji berkata, Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) bukan sahaja memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, pembangunan infrastruktur dan sektor strategik, malah turut menitikberatkan pembangunan modal insan serta kesejahteraan rakyat yang mempunyai identiti dan jati diri kukuh.

Hajiji Noor

Katanya, kerajaan negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan DBP dan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi memartabatkan bahasa serta sastera kebangsaan menerusi pelbagai kegiatan, penyelidikan dan penerbitan.

Beliau turut menghargai usaha DBP memperluas penerbitan buku dalam pelbagai bidang ilmu, termasuk karya yang mengetengahkan identiti tempatan, selain mengembangkan bakat penulis muda serta menjalankan penyelidikan dan mendokumentasikan bahasa dan budaya etnik tempatan untuk diwariskan kepada generasi akan datang.

Hajiji berkata, kerajaan negeri berharap kerjasama dengan DBP, agensi berkaitan dan persatuan penulis dapat diperkukuh bagi menjadikan Sabah sebagai negeri teladan dalam pemupukan budaya ilmu, pengembangan kesusasteraan dan pemartabatan bahasa kebangsaan.

Katanya, usaha mengangkat Kota Kinabalu sebagai Kota Sastera juga perlu dipergiat menerusi penganjuran pelbagai kegiatan bahasa dan sastera.

Beliau turut menyambut baik penganjuran Karnival Bahasa Kita, Tanggungjawab Kita yang merangkumi wacana pemerkasaan bahasa dalam media, bicara tulisan Jawi dan pemantapan seni berpantun.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, generasi muda perlu menguasai pelbagai bahasa bagi meningkatkan daya saing, tanpa mengetepikan tanggungjawab memartabatkan bahasa kebangsaan, khususnya ketika berkomunikasi melalui media sosial.

“Kepada generasi muda, dalam rancaknya penggunaan dan komunikasi di pelbagai platform media sosial, jiwa dan semangat mengutamakan penggunaan bahasa kebangsaan yang tepat dan santun haruslah menebal.

“Dalam ruang kebebasan bersuara menerusi pelbagai medium, batasnya ialah kesantunan berbahasa dan penggunaan bahasa yang baik,” katanya.

Mengulas tema BBK 2026, Bahasa Kita, Wajah Kita, Hajiji berkata, tema itu selaras dengan semangat Bahasa Jiwa Bangsa yang mengingatkan masyarakat bahawa bahasa bukan sekadar alat komunikasi harian, sebaliknya mencerminkan identiti, jati diri, pemikiran dan keperibadian sesuatu bangsa.

Katanya, penggunaan bahasa kebangsaan yang indah, terampil, beradab dan bersopan turut mencerminkan kematangan serta maruah bangsa bertamadun, sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang berteraskan nilai kemasyarakatan, kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat-menghormati dan keyakinan.

Beliau berkata, perpaduan kaum dapat diperkukuh melalui penggunaan bahasa kebangsaan secara berhemah dengan menghormati kepelbagaian kaum dan etnik, manakala penulisan, sastera serta media kreatif menjadi wadah untuk memupuk daya cipta dan melahirkan masyarakat berminda kelas pertama.

Dalam konteks Sabah, katanya, kepelbagaian etnik, budaya dan dialek yang unik dapat disatukan secara harmoni melalui bahasa kebangsaan.

Bahasa Melayu berperanan sebagai ejen penyatuan yang membolehkan rakyat Sabah daripada pelbagai kaum berkomunikasi, saling memahami dan bekerjasama dalam suasana muhibah.

Bagaimanapun, Hajiji menegaskan bahawa usaha memartabatkan bahasa kebangsaan tidak bermaksud menutup ruang atau meminggirkan kepelbagaian bahasa ibunda dan bahasa etnik yang menjadi khazanah berharga Sabah.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh rakyat memperteguh tekad untuk menjadikan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan, bahasa ilmu dan kebanggaan bersama seluruh rakyat Malaysia.

RELATED ARTICLES
Utama

PAS Sabah Desak Siasatan Pembatalan Projek Di Sabah, Sarawak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular