Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan di sini daripada pertuduhan mengedar 350.1 gram dadah jenis syabu yang didakwa dilakukan enam tahun lalu.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Azhahari Kamal Ramli bersama Ahmad Kamal Md Shahid dan Datuk Amarjeet Singh Serjit Singh sebulat suara membebaskan Samman Indanan, 33, selepas mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi terhadapnya.
Pada 26 September 2023, Samman dijatuhi hukuman penjara seumur hidup bermula dari tarikh tangkapannya pada 17 Julai 2020 serta 12 sebatan selepas didapati bersalah mengedar dadah berkenaan.
Mahkamah Tinggi turut memerintahkan tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman penjara kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
Mengikut pertuduhan, Samman didakwa mengedar 350.1 gram syabu di tepi jalan berhampiran sebuah bangunan di Sandakan pada 17 Julai 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama.
Peruntukan itu membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah hendaklah dikenakan sebatan tidak kurang daripada 15 kali, jika sabit kesalahan.
Samman yang merupakan perayu dalam kes ini diwakili peguam Faezah Abby Ibnu manakala Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang mewakili responden.



