HomeUtamaHajiji mahu Pesta Kalimaran diperkasa sebagai produk pelancongan budaya Sabah

Hajiji mahu Pesta Kalimaran diperkasa sebagai produk pelancongan budaya Sabah

Read Time:2 Minute, 16 Second

TENOM: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor mahu penganjuran Pesta Kalimaran terus diperkasakan dengan memperluas penyertaan usahawan tempatan dan pemain industri pelancongan bagi merancakkan ekonomi komuniti serta mempromosikan warisan budaya Murut.

Beliau berkata, penglibatan lebih ramai pengusaha kecil, penggiat kraftangan, pengusaha makanan dan inap desa serta pemain industri pelancongan perlu digalakkan bagi menjadikan pesta itu sebagai platform pembangunan ekonomi dan pelancongan setempat.

Katanya, penganjuran pesta berkenaan selari dengan usaha Kerajaan Negeri untuk membangunkan produk dan pengalaman pelancongan beridentiti tersendiri di setiap daerah sebagai persiapan menjelang Tahun Melawat Sabah 2027.

“Pesta ini akan memperkukuh industri pelancongan budaya, selain memberi peluang kepada masyarakat setempat memasarkan produk tempatan dan meningkatkan ekonomi komuniti luar bandar,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick pada majlis perasmian Ilau Kalimaran (Pesta Kalimaran) di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom, di sini, Sabtu.

Dalam ucapannya, Hajiji turut menyeru generasi muda Murut agar terus memelihara dan mengangkat warisan budaya etnik masing-masing supaya tidak dilupakan oleh generasi akan datang.

Beliau berkata, budaya tradisional tidak seharusnya dianggap ketinggalan zaman, sebaliknya perlu dijadikan kekuatan dan peluang untuk memperkenalkan identiti masyarakat Murut ke peringkat lebih luas.

“Gunakan teknologi digital dan media sosial untuk memperkenalkan budaya Murut kepada dunia. Dokumentasikan tarian, muzik, pakaian, makanan, bahasa, cerita rakyat dan adat resam kita.

“Kita mahu melihat generasi muda menjadi duta budaya Sabah. Jika kita tidak mengambil langkah memelihara budaya hari ini, kita mungkin kehilangan sebahagian daripada identiti kita pada masa akan datang,” katanya.

Beliau turut mengingatkan generasi muda supaya menghayati perjuangan Datuk Seri Panglima Ontoros bin Endoi atau lebih dikenali sebagai Antanom yang menjadi lambang keberanian, keteguhan pendirian dan semangat perjuangan masyarakat Murut.

Menurutnya, nilai perjuangan Antanom bukan sekadar keberanian, tetapi turut merangkumi maruah, harga diri, kepimpinan, kesetiaan kepada tanah air dan kecintaan terhadap masyarakat.

Hajiji berkata, nilai berkenaan perlu terus menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk menghargai tanah air, mengekalkan perpaduan, berilmu, berkemahiran serta berani menghadapi cabaran.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri komited memastikan khazanah kebudayaan semua etnik di Sabah terus dipelihara, didokumentasikan dan dipromosikan, termasuk melalui usaha memperkukuh pemetaan serta dokumentasi budaya etnik negeri ini.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri berhasrat memperkasakan Kemabong menerusi pembangunan sektor pertanian, keusahawanan, pelancongan, infrastruktur dan ekonomi setempat.

Katanya, penganjuran acara berskala besar seperti Pesta Kalimaran mampu memperkenalkan Kemabong sebagai destinasi kebudayaan dan pelancongan yang mempunyai identiti tersendiri di Sabah.

Beliau yakin kerjasama erat antara kerajaan, agensi berkaitan, pemimpin masyarakat dan rakyat mampu memastikan Kemabong terus berkembang serta menikmati manfaat pembangunan.

Hajiji turut mengajak masyarakat menjadikan Pesta Kalimaran sebagai platform memperkukuh hubungan persaudaraan, perpaduan dan keharmonian demi memastikan kestabilan negeri terus terpelihara.

Katanya, perpaduan dan kestabilan merupakan asas penting bagi membolehkan agenda pembangunan negeri menerusi Sabah Maju Jaya diteruskan.

RELATED ARTICLES
Utama

Tiga pegawai perubatan floater ditempatkan di Hospital Ranau secara berperingkat

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular