HomeUtamaIDS gesa peruntukan RM18.7 bilion utamakan daerah miskin

IDS gesa peruntukan RM18.7 bilion utamakan daerah miskin

Read Time:1 Minute, 32 Second

KOTA KINABALU: Peruntukan RM18.7 bilion kepada Sabah menerusi Belanjawan 2027 perlu diagihkan secara bersasar dengan memberi keutamaan kepada daerah miskin, khususnya kawasan yang masih berdepan masalah bekalan air, elektrik dan jalan raya.

Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun, berkata peningkatan RM1.1 bilion berbanding RM17.6 bilion pada 2026 merupakan perkembangan positif, namun keutamaan perlu diberikan kepada kawasan yang paling memerlukan bagi memastikan peruntukan itu benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

“Jika kita mahu menangani masalah kemiskinan, peruntukan mesti sampai ke kawasan yang benar-benar memerlukan. Keperluan setiap daerah berbeza dan penyelesaiannya juga perlu disesuaikan dengan keadaan setempat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lapan daripada 10 daerah yang pernah dikenal pasti mempunyai kadar kemiskinan tegar tertinggi di Malaysia terletak di Sabah, iaitu Tongod, Beluran, Pitas, Kinabatangan, Kota Marudu, Tuaran, Ranau dan Lahad Datu.

Menurutnya, penyelesaian isu bekalan air, elektrik dan jalan raya perlu dilaksanakan secara menyeluruh kerana kekurangan infrastruktur asas itu turut menjejaskan kegiatan ekonomi, khususnya keupayaan penduduk luar bandar mengeluarkan serta memasarkan hasil pertanian dan perikanan.

“Ketiga-tiga perkara ini mesti diselesaikan sebaik mungkin. Kelewatan pelaksanaan projek akibat birokrasi yang berpanjangan boleh meningkatkan kos pembangunan, sedangkan rakyat terus menanggung kesannya,” katanya.

Bagi memastikan bantuan pembangunan sampai kepada golongan yang memerlukan, IDS mencadangkan antara 10 hingga 15 peratus daripada Pemberian Khas interim RM1.5 bilion di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diperuntukkan sebagai Dana Pembangunan Komuniti Khas untuk daerah miskin.

Azizah berkata, pengagihan dana berkenaan perlu berpandukan data dan kajian di lapangan memandangkan punca kemiskinan berbeza mengikut daerah, termasuk kekurangan infrastruktur, kesukaran akses ke pasaran serta kebergantungan nelayan dan pekebun kecil kepada orang tengah.

Katanya, IDS sedang melaksanakan pemetaan kemiskinan di Pitas dan Kota Marudu bagi mengenal pasti lokasi serta profil isi rumah miskin, selain meneliti kekangan ekonomi yang dihadapi penduduk.

Kajian itu disasarkan selesai tahun depan.

RELATED ARTICLES
Utama

Bantuan pendidikan Sabah perkukuh pembangunan modal insan – Azman

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular