HomeUtamaKPDN kompaun pengusaha restoran kenakan caj tambahan tanpa paparan harga

KPDN kompaun pengusaha restoran kenakan caj tambahan tanpa paparan harga

Read Time:1 Minute, 39 Second

LABUAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan mengenakan tindakan kompaun terhadap seorang pengusaha restoran di sini yang gagal mempamerkan caj tambahan makanan dengan jelas di premis perniagaannya.

Tindakan itu diambil susulan aduan pengguna melalui portal rasmi e-Aduan KPDN berhubung caj tambahan RM3 bagi permintaan tambahan sup yang tidak disenaraikan dalam paparan harga restoran berkenaan.

Pengarah KPDN Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain, berkata pemeriksaan oleh Bahagian Penguat Kuasa KPDN Labuan dijalankan di restoran terbabit di sini pada Jumaat.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati senarai harga yang dipamerkan di premis itu hanya menyatakan caj tambahan bagi nasi dan mi, tetapi tidak menyenaraikan harga bagi tambahan sup.

“Susulan ketidakpatuhan yang dikesan, tindakan kompaun telah diambil terhadap pengusaha berkenaan di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga bagi Barangan dan Caj bagi Perkhidmatan) 2020,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata, peraturan berkenaan dibuat di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] bagi memastikan peniaga mematuhi keperluan penandaan harga serta paparan caj perkhidmatan.

Katanya, semua pengusaha restoran dan premis makanan perlu memastikan senarai menu serta setiap caj tambahan yang ditawarkan dipaparkan secara lengkap, jelas dan mudah dilihat oleh pelanggan.

“Setiap paparan senarai harga dan caj hendaklah menggunakan Bahasa Kebangsaan atau disertakan terjemahan sekiranya paparan asal bukan dalam Bahasa Kebangsaan, manakala harga yang dinyatakan mestilah dalam ringgit atau sen, selaras dengan kehendak peraturan yang berkuat kuasa,” katanya.

Junaidah berkata, paparan harga yang jelas mencerminkan ketelusan peniaga dan penting bagi melindungi hak pengguna.

Menurutnya, pengguna berhak mengetahui harga sesuatu barangan atau perkhidmatan sebelum bersetuju untuk membuat pembelian atau pesanan tanpa berdepan caj yang tidak dijangka.

Dalam pada itu, beliau berkata KPDN Labuan akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan dan pemantauan bagi memastikan kepentingan pengguna sentiasa dilindungi.

Orang ramai turut digalakkan menyalurkan sebarang aduan atau maklumat berkaitan ketidakpatuhan peniaga melalui saluran rasmi KPDN yang disediakan.

Mana-mana individu yang disabitkan atas kesalahan di bawah perintah berkenaan boleh didenda sehingga RM50,000, manakala pertubuhan perbadanan boleh dikenakan denda sehingga RM100,000.

RELATED ARTICLES
Utama

Bantuan pendidikan Sabah perkukuh pembangunan modal insan – Azman

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular