HomeUtamaSEC perkasa tanggungjawab sosial bantu golongan memerlukan di Sabah

SEC perkasa tanggungjawab sosial bantu golongan memerlukan di Sabah

Read Time:1 Minute, 38 Second

KOTA KINABALU: Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) terus memperkukuh komitmen tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memberi tumpuan kepada keperluan golongan kurang berkemampuan dan kurang bernasib baik di seluruh Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEC, Datuk Ir Ts Adzmir Abd Rahman, berkata tanggungjawab membangunkan Sabah tidak hanya tertumpu kepada aspek ekonomi, malah perlu disertai usaha memastikan kesejahteraan masyarakat turut diberi perhatian.

Beliau berkata, terdapat keluarga yang memerlukan bantuan untuk memenuhi keperluan asas, selain anak-anak yang memerlukan sokongan bagi meneruskan pendidikan.

“Ada keluarga yang memerlukan sokongan untuk memenuhi keperluan asas. Ada anak-anak yang memerlukan peluang untuk meneruskan pendidikan.

“Ada juga yang sedang membina semula kehidupan selepas ditimpa musibah,” katanya ketika ditemui pada Sabah Energy Charity Golf 2026 di sini pada Sabtu.

Menurutnya, bantuan kepada masyarakat perlu disalurkan berdasarkan keperluan sebenar penerima serta dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab.

“Bantuan yang bermakna bermula dengan memahami keperluan mereka, disampaikan dengan menjaga maruah penerima dan diurus dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

Dalam usaha itu, SEC menyalurkan RM200,000 hasil kutipan penajaan dan yuran penyertaan kejohanan golf amal berkenaan untuk tujuan kebajikan.

Daripada jumlah tersebut, RM150,000 disumbangkan kepada Yayasan Kebajikan Sabah, manakala RM50,000 lagi akan diagihkan kepada lima badan bukan kerajaan (NGO) yang layak di seluruh negeri.

Adzmir berkata, sumbangan itu melengkapi pelbagai inisiatif SEC dalam bidang pendidikan, kebajikan dan alam sekitar yang dilaksanakan mengikut keperluan masyarakat.

Beliau berkata, kepercayaan yang diberikan oleh penaja, rakan perniagaan dan peserta perlu dipikul sebagai satu amanah.

“Setiap sumbangan ialah amanah. Kami menghargai kepercayaan ini dan komited untuk memastikan sumbangan yang diterima diurus dengan bertanggungjawab serta disalurkan bagi tujuan kebajikan yang ditetapkan,” katanya.

Menurutnya, kerjasama antara komuniti korporat, rakan strategik dan masyarakat boleh mewujudkan manfaat yang lebih luas, khususnya kepada golongan yang memerlukan.

Beliau berkata, hubungan yang terjalin melalui sektor perniagaan dan aktiviti seperti sukan golf boleh diterjemahkan kepada usaha bersama untuk membantu masyarakat.

“Semoga persahabatan yang dieratkan hari ini menjadi kekuatan untuk kita meringankan beban dan membuka peluang kepada mereka yang memerlukan,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

Rawatan pesakit berdasarkan tahap kecemasan, keutamaan kes segera – HQE 1

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular