HomeSukan19 jabatan, agensi meriahkan Kejohanan Sukan Putatan

19 jabatan, agensi meriahkan Kejohanan Sukan Putatan

Read Time:1 Minute, 24 Second

PUTATAN: Kejohanan Sukan Jabatan dan Agensi Daerah Putatan bukan sahaja memupuk amalan gaya hidup sihat, malah menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dan semangat kerjasama dalam kalangan penjawat awam.

Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, penganjuran kejohanan itu penting dalam membantu meningkatkan kecergasan fizikal dan mental warga perkhidmatan awam, selain mengukuhkan hubungan antara jabatan dan agensi kerajaan.

“Program seperti ini dapat membudayakan amalan gaya hidup sihat, selain menjadi platform terbaik untuk mengeratkan ukhuwah, silaturahim dan semangat berpasukan antara penjawat awam pelbagai agensi di seluruh Daerah Putatan.

“Hubungan kerjasama yang erat antara jabatan dan agensi juga mampu memperkukuh koordinasi serta meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Sukan Jabatan dan Agensi Daerah Putatan sempena Hari Sukan Negara 2026 di Dewan KOMBES Putatan, di sini.

Teks ucapan beliau disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya.

Menurut Shahelmey, kejohanan itu turut menyediakan peluang kepada penjawat awam menyertai pelbagai acara sukan mengikut minat dan kebolehan masing-masing.

Katanya, penganjuran acara permainan tradisional seperti congkak dan karom turut menjadi usaha memelihara warisan budaya, selain mempelbagaikan aktiviti sukan dalam kalangan warga kerja.

“Antara acara yang dipertandingkan ialah futsal, bola tampar, badminton, pingpong, karom, congkak dan pool yang memberi peluang kepada peserta menunjukkan kebolehan, strategi serta semangat kesukanan masing-masing,” katanya.

Beliau berharap kejohanan seumpama itu dapat diteruskan pada masa akan datang bagi menyemarakkan budaya bersukan serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan penjawat awam.

Kejohanan yang berlangsung dari 12 hingga 30 Oktober itu disertai 19 jabatan dan agensi kerajaan.

Hadir sama Pegawai Daerah Putatan, Masawi Salleh; wakil Majlis Daerah Putatan, Md Faidhi Md Arifin; dan Pegawai Pembangunan Masyarakat Tanjung Keramat, Latip Jiar.

RELATED ARTICLES
Sukan

Liga Super : Sabah FC benam Terengganu 2-0, aksi dicemari insiden...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular