KOTA KINABALU: Padah mengambil dadah jenis syabu buat kali ketiga, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lima tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini.
Hakim Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu terhadap Awang Azmi, 58, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati positif dadah jenis syabu menerusi ujian air kencing di Balai Polis Papar pada 4 April 2025.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39C(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh mempunyai dua sabitan terdahulu bagi kesalahan sama, masing-masing pada 2014 dan 2023.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara tertuduh bermula dari tarikh tangkapannya.
Tertuduh tidak diwakili peguam, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim.



