PITAS: Pelaksanaan sistem mikrogrid solar di Kampung Layak-Layak, di sini membuka lembaran baharu kepada penduduk apabila teknologi tenaga boleh baharu itu menyediakan kemudahan bekalan elektrik kepada komuniti yang tinggal di kawasan perkampungan atas air.
Inisiatif berkenaan bukan sahaja menyelesaikan kekangan akses tenaga elektrik, malah membuktikan teknologi solar berupaya menjadi alternatif bagi menyediakan kemudahan asas di kawasan luar bandar yang berdepan cabaran infrastruktur.
Ketua projek dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Ts. Dr. Mohamad Zul Hilmey Makmud berkata, projek itu membawa makna besar kepada penduduk, terutama mereka yang sekian lama mengharapkan kemudahan elektrik di kampung berkenaan.

Beliau berkata, luahan seorang ibu yang menyatakan tidak pernah menyangka dapat melihat kampung mereka bercahaya sebelum meninggal dunia menjadi gambaran jelas betapa bermaknanya kemudahan itu kepada masyarakat setempat.
Menurutnya, projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu menggunakan teknologi Centralized Off-Grid Photovoltaic (COGPV), yang menjana tenaga solar secara berpusat sebelum diagihkan kepada kediaman penduduk menerusi rangkaian mikrogrid.
Sistem berkenaan membekalkan elektrik kepada 25 rumah dan sebuah masjid dengan kapasiti maksimum 50 kilowatt arus ulang-alik (kWac).
Ia turut dilengkapi sistem penyimpanan tenaga bateri berkapasiti keseluruhan 320 kilowatt-jam (kWh), membolehkan tenaga solar yang dijana disimpan untuk menyokong penggunaan elektrik pada waktu siang dan malam.
Menurutnya, sistem itu direka untuk beroperasi sepenuhnya menggunakan tenaga solar tanpa memerlukan penjana diesel sebagai sumber sokongan.

Pendekatan berkenaan turut membantu mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil, sekali gus mengurangkan risiko gangguan bekalan akibat kenaikan harga dan masalah rantaian bekalan bahan api.
Pelaksanaan projek itu membabitkan kerjasama pasukan teknikal UMS daripada Fakulti Sains dan Teknologi (FST) serta Fakulti Kejuruteraan (FKJ), Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah sebagai NGO pelaksana dan Maybank Islamic Berhad selaku pendana utama.



