HomeUtama18 kampung di Sabah diluluskan sebagai Kampung Angkat MADANI tahun ini

18 kampung di Sabah diluluskan sebagai Kampung Angkat MADANI tahun ini

Read Time:1 Minute, 49 Second

KOTA MARUDU: Kerajaan menyalurkan peruntukan RM500,000 bagi membolehkan empat projek infrastruktur asas di Kampung Korongkom dinaik taraf menerusi pelaksanaan program Kampung Angkat MADANI (KAM).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ir. Ts. Mustapha Sakmud berkata, Kampung Korongkom merupakan antara 18 kampung di Sabah yang diluluskan sebagai KAM oleh Kementerian Kewangan dengan peruntukan keseluruhan RM9 juta pada tahun ini.

Beliau berkata, pada 2025, sebanyak 11 KAM diluluskan di Sabah dengan peruntukan RM10.15 juta, manakala 18 kampung lagi menerima kelulusan pada 2026.

Menurutnya, menerusi peruntukan RM500,000 itu, empat projek berjaya disiapkan di Kampung Korongkom merangkumi pembinaan dewan baharu, penyediaan padang bola sepak, pemasangan lampu jalan serta menaik taraf jalan batu kerikil kepada jalan konkrit.

“Walaupun peruntukannya RM500,000, pengurusan KAM ini mampu menyiapkan empat projek yang bukannya mudah.

“Paling penting, dana berkenaan dioptimumkan penggunaannya supaya lebih banyak infrastruktur asas dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Projek Siap KAM Kampung Korongkom, di sini.

Dalam pada itu, Mustapha berkata, berdasarkan data Kementerian Kewangan, Sabah antara negeri yang mencatatkan jumlah permohonan KAM paling rendah, sedangkan negeri ini memerlukan peruntukan lebih besar berbanding negeri lain bagi memperluas pembangunan menerusi program berkenaan.

Katanya, pemilihan kampung sebagai KAM perlu memberi keutamaan kepada kawasan yang masih terpinggir daripada arus pembangunan, termasuk beberapa kawasan di daerah Kota Marudu.

“Kota Marudu antara kawasan yang agak kurang dari segi pembangunan kampung, jadi ini antara daerah yang perlu diutamakan untuk pemilihan KAM pada tahun-tahun hadapan.

“Apabila sebuah kampung dipilih sebagai kampung angkat, prasarana terutama dewan, padang bola, jalan dan lampu akan diperbaiki sekali gus memberi manfaat besar kepada kampung yang selama ini tidak mendapat dana untuk memperbaiki infrastruktur asas,” katanya.

Beliau berharap kemudahan yang siap dinaik taraf itu dapat menjadi pemangkin kepada golongan belia untuk terus aktif dan berdaya saing, selain berpeluang mengharumkan nama komuniti ke peringkat lebih tinggi.

Mustapha turut menyeru masyarakat supaya terus memupuk semangat muafakat dan bekerjasama dengan kerajaan bagi memastikan kejayaan pelaksanaan program berkenaan.

Katanya, keberkesanan KAM turut bergantung pada kerjasama erat antara kepimpinan akar umbi, agensi kerajaan dan seluruh anggota komuniti.

“Marilah kita berganding bahu sebagai keluarga besar untuk merealisasikan visi Malaysia MADANI di bumi Kampung Korongkom ini,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

NRES peruntuk RM600,000 perkasa infrastuktur, kemahiran belia di Nabawan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular