KOTA KINABALU: Penampakan cahaya terang di ruang udara Sabah pada awal pagi 9 November lalu disahkan berpunca daripada aktiviti pelancaran roket Long March 12 milik Republik Rakyat China.
Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) dalam kenyataannya memaklumkan, roket berkenaan dilancarkan dari Hainan International Commercial Launch Center di Wenchang, Hainan, pada jam 4.24 pagi waktu Malaysia.
MYSA berkata, pihaknya menerima maklumat awal berhubung laporan penampakan cahaya terang berkenaan sebelum mengesahkan kaitannya dengan aktiviti pelancaran roket itu.
Menurut MYSA, pihaknya turut menerima makluman daripada Agensi Angkasa Filipina (PhilSA) mengenai kebarangkalian serpihan objek daripada pelancaran berkenaan jatuh di zon jatuhan yang telah dikenal pasti.
Zon berkenaan dianggarkan terletak kira-kira 25 batu nautika (NM) dari Puerto Princesa, Palawan dan 19 batu nautika dari Taman Semula Jadi Terumbu Tubbataha, iaitu dalam wilayah perairan kepulauan Filipina.
Bagaimanapun, setakat ini tiada laporan rasmi diterima mengenai penemuan sebarang serpihan objek daripada pelancaran berkenaan di wilayah Malaysia.
Sehubungan itu, orang ramai yang menemui sebarang objek atau serpihan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan pelancaran roket berkenaan diminta segera melaporkannya kepada Bahagian Penguasa Angkasa di talian 03-8885 8685 atau melalui e-mel [email protected].
MYSA turut menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan penemuan berkenaan kepada pihak berkuasa untuk tindakan dan pemeriksaan lanjut.



