HomeUtamaAI dan mekanisasi mampu tarik minat anak muda ceburi pertanian, akuakultur –...

AI dan mekanisasi mampu tarik minat anak muda ceburi pertanian, akuakultur – Jamawi

Read Time:2 Minute, 5 Second

Oleh Normimie Diun

GUANGZHOU: Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan mekanisasi dalam sektor pertanian serta akuakultur berpotensi menarik lebih ramai golongan muda Sabah untuk menceburi bidang berkenaan.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, penerapan teknologi moden mampu mengubah landskap sektor pertanian negeri yang selama ini banyak diterajui golongan berusia.

Beliau berkata, pendedahan kepada teknologi pertanian pintar itu antara peluang penting yang diteroka menerusi misi perdagangan dan pertanian Sabah ke Guangzhou, China, bagi mengenal pasti ruang kerjasama serta mempelajari pendekatan baharu dalam memajukan sektor agromakanan negeri.

Katanya, delegasi Sabah yang disertai kira-kira 120 wakil kerajaan dan komuniti perniagaan dijadual mengadakan lawatan ke sektor pertanian dan perikanan di Guangzhou bagi melihat sendiri perkembangan teknologi, termasuk penggunaan AI dan mekanisasi dalam operasi pertanian.

“Teknologi ini penting kerana kita mahu menarik anak-anak muda supaya lebih aktif dalam sektor pertanian. Kita tahu, antara cabaran di Sabah ialah industri ini sejak sekian lama banyak diterajui golongan yang lebih berusia, manakala minat anak muda masih agak kurang.

“Dengan adanya teknologi dan pendekatan baharu, kita berharap lebih ramai golongan muda tampil meneroka peluang dalam bidang pertanian dan perikanan,” katanya ketika ditemui semasa misi berkenaan di Guangzhou malam tadi.

Jamawi berkata, penyertaan golongan muda dalam delegasi itu turut memberikan petunjuk positif bahawa generasi baharu semakin bersedia mengambil bahagian dalam aktiviti perniagaan dan pembangunan sektor pertanian Sabah.

Beliau turut menghargai peranan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Malaysia-China (MCCC) Sabah, Datuk Dexter Lau, dalam menjayakan penyertaan delegasi berkenaan yang disifatkannya antara yang terbesar pernah dihantar dari Sabah.

Katanya, misi itu bukan sahaja membuka ruang kepada kerjasama dalam bidang pertanian dan akuakultur, malah menjadi platform untuk memperkenalkan potensi Sabah kepada komuniti perniagaan China, termasuk peluang dalam sektor pelancongan dan pelaburan.

Sementara itu, Dexter berkata, penyertaan kira-kira 120 ahli perniagaan Sabah dalam misi berkenaan mencerminkan kesungguhan sektor swasta untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam meneroka peluang baharu.

Beliau berkata, delegasi perniagaan itu mempunyai keupayaan dari segi modal dan infrastruktur untuk menyokong pembangunan sektor pertanian, justeru kerjasama dengan kementerian berkaitan penting bagi mengenal pasti projek yang berpotensi dilaksanakan.

Katanya, misi berkenaan turut membuka peluang pertemuan dengan kira-kira 400 wakil perniagaan China serta sekitar 20 pengerusi dan presiden dewan perniagaan dari pelbagai wilayah negara itu.

Menurutnya, kunjungan berkenaan menjadi platform strategik untuk mempromosikan Sabah secara lebih menyeluruh, selain memperkenalkan peluang kerjasama dalam sektor pertanian, pelancongan dan bidang ekonomi lain.

Misi perdagangan dan pertanian itu diharap dapat menghasilkan jaringan kerjasama serta pelaburan yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada pembangunan sektor agromakanan Sabah.

RELATED ARTICLES
Utama

GEG Sabah rakan strategik perkukuh kesiapsiagaan AI pendidik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular