KUALA LUMPUR: Setakat ini, tiada petunjuk bahawa cip kecerdasan buatan (AI) yang dikaitkan dengan isu Nvidia-Megaspeed telah dieksport dari Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata beliau menerima laporan mengenai perkara itu daripada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri pagi tadi. Kerajaan, katanya, akan memberikan kerjasama kepada semua agensi yang terlibat.
Beliau turut memaklumkan bahawa Malaysia belum menerima sebarang permintaan rasmi daripada Singapura atau Amerika Syarikat (AS) berhubung siasatan mengenai isu itu.
“Setakat ini, kita belum menerima sebarang permintaan sedemikian. Namun, sudah tentu kita akan bekerjasama.
“Malaysia sebuah negara perdagangan. Kita mengalu-alukan pelaburan dan mahu memastikan peraturan dipatuhi,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Madrasathul Gouthiyyah, Brickfields, hari ini.
Sementara itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam kenyataan terdahulu berkata pihaknya tidak pernah memberikan kelulusan kepada Megaspeed International Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura atau syarikat sekutunya di Malaysia, Speedmatrix Sdn Bhd.
Menurut MITI, Speedmatrix menyewa ruang di pusat data di Malaysia dan membawa masuk pelayan serta cip AI miliknya sendiri untuk kegunaan operasi.
Kementerian itu sedang bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi menentukan sama ada mana-mana cip berkenaan telah dieksport semula ke negara lain. Sekiranya ada, semakan itu turut meliputi pematuhan terhadap undang-undang Malaysia.
MITI menjelaskan bahawa kemasukan cip AI ke Malaysia pada masa ini tidak memerlukan permit atau lesen. Sejak Julai 2025, eksport, eksport semula, pindah kapal dan transit cip AI berprestasi tinggi dari AS yang melibatkan Malaysia memerlukan permit MITI di bawah Akta Perdagangan Strategik 2010.
Kementerian itu turut berkata pemberian maklumat palsu kepada JKDM mengenai barangan berkenaan merupakan kesalahan serius di bawah Akta Kastam 1967.
Malaysia akan menjalankan semakan secara bebas berdasarkan bukti yang ada dan mengikut undang-undang negara, menurut MITI.



