KOTA KINABALU: Seorang petani dijatuhi hukuman penjara 35 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah membunuh bapa saudaranya dua tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Octavian Sahabat, 44, selepas perbicaraan penuh.
Dalam keputusannya, mahkamah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes terhadap tertuduh melampaui keraguan munasabah.
Octavian didapati bersalah membunuh Sairin Molondoi, 50, di tepi jalan di hadapan sebuah rumah di Kota Belud pada 31 Mei 2024.
Dia disabitkan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.
Jika tidak dijatuhi hukuman mati, pesalah juga boleh dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali.
Sepanjang perbicaraan, pihak pendakwaan memanggil 18 saksi untuk memberi keterangan, manakala tertuduh merupakan satu-satunya saksi pembelaan yang memilih untuk memberi keterangan secara bersumpah.
Timbalan Pendakwa Raya Samira Khalili mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam lantikan (assign counsel), Adelia Adnan.
Semasa rayuan meminta hukuman ringan, peguam antara lain memaklumkan kejadian itu berpunca daripada pertengkaran antara tertuduh dengan mangsa yang membawa kepada pergelutan fizikal, selain terdapat keterangan mengenai pengambilan alkohol.



