KOTA KINABALU: Seramai 11 pendatang asing masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, baru-baru ini, kerana memasuki Sabah tanpa dokumen sah.
Kesemua tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan masing-masing di hadapan Hakim Hurman Hussain.
Mereka ditahan anggota Jabatan Imigresen dalam operasi di sekitar bandar raya ini dan Kudat selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara terhadap mereka berkuat kuasa dari tarikh tangkap masing-masing.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, serta boleh dikenakan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, seorang lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga Pakistan masing-masing didenda RM10,000 atau penjara enam bulan kerana tinggal lebih masa di Sabah.
Kedua-duanya didapati tinggal melebihi tempoh dibenarkan masing-masing selama 18 hari dan lima bulan selepas dokumen perjalanan mereka tamat tempoh.
Dalam kes berasingan, seorang lagi warga Pakistan, Khan Yousof, 29, didenda RM500 atau penjara tiga bulan kerana melanggar syarat pas lawatan sosial dengan menjalankan aktiviti perniagaan.
Dia didakwa mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen.
Kesemua 14 tertuduh yang mengaku bersalah dirujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut selepas selesai menjalani hukuman penjara atau membayar denda masing-masing.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen, Norhayati Abdul Hari.



