KOTA KINABALU: Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS), Jabatan Perdana Menteri menyalurkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi menaik taraf kemudahan asas Sekolah Kebangsaan (SK) Lok Yuk, Inanam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk. Mustapha Sakmud berkata, peruntukan menerusi inisiatif Sekolah Angkat MADANI itu disalurkan kepada Pejabat Pendidikan Daerah untuk melaksanakan beberapa projek penambahbaikan infrastruktur sekolah berkenaan.
Beliau berkata, kerja penambahbaikan melibatkan pembaikan pagar di sekitar sekolah serta menaik taraf tangki air bagi memastikan kemudahan asas sekolah berada dalam keadaan lebih baik.

“Keadaan pagar sebelum ini kurang memuaskan dan boleh menjejaskan aspek keselamatan murid. Justeru, pembinaan pagar yang lebih kukuh dapat mengurangkan risiko keselamatan kepada warga sekolah.
“Penambahbaikan turut melibatkan tangki air yang sebelum ini mengalami kerosakan, termasuk pemasangan pam automatik bagi memastikan bekalan air mencukupi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Sekolah Angkat MADANI di SK Lok Yuk, Inanam, di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, pemilihan sekolah berkenaan dibuat selepas lawatan awal mendapati SK Lok Yuk memerlukan penambahbaikan dari segi prasarana asas.
Katanya, permohonan tambahan pihak sekolah membabitkan pembinaan dewan terbuka dan pemasangan paparan LED turut akan diteliti untuk pertimbangan lanjut.
“Selain itu, kita juga boleh berusaha mendapatkan sokongan menerusi peruntukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi membantu memenuhi keperluan sekolah,” katanya.
Mustapha berkata, inisiatif Sekolah Angkat MADANI memberi peluang kepada pengurusan kanan agensi kerajaan memilih sekolah untuk menerima bantuan menerusi projek pembangunan yang dikenal pasti berdasarkan peruntukan ditetapkan.
Hadir sama, Setiausaha Bahagian BHESS, Mohd Saiful Sungkih Abdullah; Timbalan Setiausaha Persekutuan Sabah, Mohd Hamdani Sahari; dan Guru Besar SK Lok Yuk, Inanam, Kwan Lun Shai.



