HomeUtamaPAC disaran siasat kesan penamatan PDP projek Pan Borneo – Armizan

PAC disaran siasat kesan penamatan PDP projek Pan Borneo – Armizan

Read Time:2 Minute, 17 Second

Oleh Normimie Diun

PAPAR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) disaran memperluaskan skop siasatan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dengan meneliti asas serta implikasi penamatan model Rakan Pelaksana Projek (PDP) pada 2019.

Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penelitian itu penting bagi mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada kelewatan pelaksanaan projek berkenaan, khususnya bagi Fasa 1A dan 1B.

Katanya, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Bilangan 2 Tahun 2026 perlu diteliti bersama perkembangan dasar dan keputusan terdahulu yang memberi kesan kepada pelaksanaan projek berkenaan.

Beliau berkata, jawapan rasmi Kementerian Kerja Raya (KKR) di Dewan Rakyat pada 2 Ogos 2022 dan 19 Oktober 2026 masing-masing menyatakan bahawa penamatan model PDP antara faktor yang menyumbang kepada kelewatan projek Pan Borneo Fasa 1B.

“Ini bukan sekadar dakwaan politik kerana perkara itu telah disebut dalam jawapan rasmi Kementerian Kerja Raya di Dewan Rakyat sebanyak dua kali.

“Justeru, kita mahu PAC turut meneliti apakah asas keputusan penamatan PDP pada 2019, termasuk kajian dan pertimbangan yang membawa kepada keputusan tersebut,” katanya ketika ditemui media di sini, hari ini.

Armizan berkata, terdapat empat perkara utama yang perlu diberi perhatian PAC, termasuk ketidaktentuan status PDP dan kontraktor susulan pertukaran kerajaan pada Mei 2018.

Menurutnya, keadaan ketika itu didakwa menyebabkan kerja di tapak terganggu lebih setahun berikutan ketidakpastian mengenai status pelantikan kontraktor serta perubahan kaedah pelaksanaan daripada model PDP kepada kaedah konvensional.

Katanya, proses pelantikan semula kontraktor turut memberi kesan kepada kos apabila berlaku peningkatan harga bahan dan inflasi, selain cabaran yang timbul akibat pandemik COVID-19.

Beliau turut membangkitkan isu pelantikan kontraktor bagi pakej tertentu yang hanya diselesaikan pada 2021, sekali gus perlu diteliti bagi mengenal pasti kesannya terhadap jadual pelaksanaan projek.

Armizan berkata, PAC juga wajar memanggil kontraktor yang terlibat untuk memberikan keterangan mengenai pengalaman dan cabaran yang dihadapi sepanjang tempoh ketidaktentuan berkenaan.

Katanya, siasatan perlu membezakan perkembangan Fasa 1A dan 1B kerana kedua-duanya mempunyai status pelaksanaan serta sejarah pelantikan kontraktor yang berbeza.

Sehubungan dengan itu, Armizan berkata, ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menyerahkan memorandum rasmi kepada PAC pada minggu berikutnya bagi memohon supaya skop siasatan diperluaskan dengan menetapkan parameter yang jelas.

“Kita bukan mahu mencari salah mana-mana pihak, tetapi mahu memastikan semua keputusan dasar yang melibatkan projek infrastruktur rakyat dibuat berdasarkan kepentingan pelaksanaan projek, bukan pertimbangan politik kepartian.

“Apabila berlaku pertukaran kerajaan, keutamaan sepatutnya memastikan projek diteruskan dan dipercepatkan, bukannya menyebabkan projek tergendala sehingga rakyat menanggung kesannya,” katanya.

Dalam pada itu, Armizan berkata, pelaksanaan Pan Borneo Fasa 1B dilihat lebih lancar hasil penyelarasan berkala antara KSU KKR dengan Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya Sabah bagi menangani isu berbangkit seperti pengambilan tanah dan pemindahan utiliti.

Menurutnya, pendekatan itu membolehkan masalah diselesaikan dengan lebih cepat melalui perbincangan langsung tanpa bergantung sepenuhnya kepada proses surat-menyurat antara agensi.

RELATED ARTICLES
Utama

Golongan wanita terus diberi perhatian dalam agenda pembangunan Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular