TAWAU: Seorang wanita warga asing berusia 30-an ditahan selepas disyaki memiliki 58.60 gram syabu dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Pisak-Pisak, Pulau Sebatik, kira-kira jam 4 pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh, berkata serbuan dijalankan sepasukan anggota Balai Polis Bergosong susulan maklumat mengenai kegiatan dadah di kawasan berkenaan.
Katanya, pasukan itu diketuai Ketua Polis Balai Bergosong, Sub Inspektor Dayang Siti Sainon Abdullah.
“Ketika pemeriksaan, suspek diminta mengemukakan dokumen pengenalan diri sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan di kediamannya.
“Pemeriksaan di bilik suspek menemukan sebuah botol plastik lutsinar yang mengandungi beg berzip.
“Beg yang diserahkan suspek untuk pemeriksaan itu mengandungi 25 tiub plastik lutsinar pelbagai saiz berisi bahan hablur jernih disyaki syabu, dengan anggaran berat 58.60 gram,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Rosdi berkata, suspek bersama barang rampasan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Tawau untuk tindakan lanjut.
Katanya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Beliau menegaskan polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam penyalahgunaan dan pengedaran dadah, selain akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya menjauhi dadah dan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah kepada polis atau balai polis berhampiran.



