KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan penjelasan terperinci berhubung Sabah yang merekodkan jumlah tunggakan bil rawatan kesihatan golongan pelarian dan pendatang asing tanpa izin (PATI) tertinggi pada 2025.
Beliau berkata, berdasarkan laporan Jawatankuasa Pilihan Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi berhubung Pengurusan Pelarian di Malaysia (DR 21), Sabah dikenal pasti sebagai negeri yang menanggung jumlah tunggakan kos rawatan tertinggi bagi golongan berkenaan.
Menurutnya, pendedahan dalam laporan muka surat 16 itu menimbulkan persoalan dalam kalangan rakyat, khususnya berkaitan layanan kesihatan yang diberikan kepada warga asing sehingga menyebabkan tanggungan tunggakan bil rawatan yang tinggi.
“Perkara ini boleh mencetuskan tanggapan seolah-olah warga asing, khususnya golongan PATI, mendapat layanan kesihatan yang lebih baik, sedangkan mereka merupakan antara penyumbang tertinggi kepada tunggakan bil rawatan golongan pelarian.
“Sehubungan itu, Putatan ingin mendapatkan penjelasan KKM mengenai punca utama Sabah menjadi negeri yang merekodkan jumlah tunggakan bil rawatan kesihatan golongan pelarian paling tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan teks perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 peringkat Jawatankuasa bagi Kementerian Kesihatan di Dewan Rakyat, hari ini.
Shahelmey turut memaklumkan sektor kesihatan awam menanggung tunggakan bil rawatan golongan pelarian berjumlah RM1.06 juta bagi tahun 2025.
Katanya, pendedahan itu turut menimbulkan kebimbangan mengenai beban kewangan yang perlu ditanggung kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada golongan pelarian yang berada di negara ini.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut membangkitkan keperluan mendesak pembinaan sebuah hospital daerah di Putatan bagi memenuhi keperluan kesihatan penduduk yang kini melebihi 70,000 orang berdasarkan data bancian.
Menurutnya, keperluan pembinaan hospital itu turut disokong oleh penilaian Pakar Perubatan Kesihatan Pekerjaan dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pejabat Kesihatan Daerah Putatan, Dr Balachandar, yang mengklasifikasikannya sebagai satu keperluan mendesak.
Katanya, antara faktor yang mendasari keperluan itu ialah peningkatan permintaan terhadap rawatan penyakit tidak berjangkit yang memerlukan kemudahan kesihatan lebih lengkap dan mudah diakses penduduk setempat.
“Justeru, saya memohon KKM memberikan pertimbangan serius supaya cadangan pembinaan Hospital Daerah Putatan dapat disenaraikan dalam agenda pembangunan hospital baharu di bawah peruntukan pembangunan kementerian,” katanya.



