KOTA KINABALU: Penggunaan teknologi digital perlu diperluaskan dalam sektor pelancongan luar bandar di Sabah bagi meningkatkan keberkesanan pengurusan, pemantauan dan pemasaran produk pelancongan berasaskan komuniti.
Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai berkata, pendigitalan membolehkan pengusaha pelancongan memperoleh maklumat lebih menyeluruh mengenai jumlah pengunjung, corak perbelanjaan serta kecenderungan pelancong terhadap sesuatu destinasi.
Menurutnya, data berkenaan penting sebagai asas merangka strategi pembangunan yang lebih berkesan, selain mengenal pasti potensi produk dan destinasi pelancongan baharu di kawasan luar bandar.
Beliau berkata, usaha itu sedang digerakkan menerusi platform Rural Tourism E-Connectivity (RuTEC) yang mula dilaksanakan sebagai projek perintis di Kiulu pada Julai 2025.
Katanya, platform yang dibangunkan dengan kerjasama syarikat teknologi tempatan, Datablu, itu membolehkan pengusaha pelancongan merekodkan tempahan dan e-resit, selain mengumpulkan maklumat berkaitan tingkah laku serta kecenderungan pengunjung.
“Data pelancongan yang lebih menyeluruh akan membantu kita memahami prestasi destinasi, minat pengunjung serta aspek yang perlu ditambah baik, sekali gus membolehkan perancangan dibuat dengan lebih berkesan bagi menyokong perkembangan pelancongan berasaskan komuniti.
“STB kini dalam usaha memperluaskan penggunaan platform berkenaan ke kawasan lain supaya manfaat pendigitalan turut dinikmati pengusaha di luar bandar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media mengenai penganjuran Pameran Pelancongan Berasaskan Komuniti Sabah (CoBT) 2026, di sini pada Selasa.
Joniston berkata, pembangunan pelancongan berasaskan komuniti di Sabah menunjukkan perkembangan positif, khususnya di kawasan perintis seperti Kiulu dan Kadamaian.
Menurutnya, Kiulu menerima lebih 54,000 pengunjung pada 2023 dengan pendapatan sebanyak RM1.6 juta, selain mewujudkan kira-kira 400 peluang pekerjaan termasuk pekerjaan sambilan sebagai pemandu pelancong dan pengendali aktiviti berakit.
Sementara itu, Kadamaian merekodkan seramai 95,987 pengunjung pada 2025 dengan anggaran pendapatan RM1.9 juta serta menyediakan hampir 300 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Katanya, pencapaian itu membuktikan sektor pelancongan luar bandar berupaya menjadi pemangkin ekonomi komuniti melalui penjanaan pendapatan dan pewujudan peluang pekerjaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pembangunan sektor berkenaan tidak boleh tertumpu kepada destinasi sedia ada sahaja, sebaliknya lebih banyak produk dan lokasi pelancongan baharu perlu dikenal pasti serta diketengahkan.
“Kita percaya permata pelancongan sebenarnya banyak terdapat di kawasan luar bandar. Ini merupakan antara fokus yang perlu kita berikan perhatian.
“Kita tidak boleh berpuas hati dengan pencapaian sedia ada kerana masih banyak perkara yang boleh dilakukan untuk memajukan sektor ini,” katanya.
Beliau berkata, usaha memperkukuh pelancongan komuniti turut menyokong agenda Kerajaan Negeri Sabah untuk membangunkan destinasi di luar kawasan tumpuan utama serta memperluaskan penyertaan masyarakat luar bandar dalam industri pelancongan.
Katanya, menjelang Tahun Melawat Sabah 2027, lebih banyak destinasi pelancongan berasaskan komuniti perlu diberikan pendedahan bagi menarik kunjungan pelawat, selain membuka peluang kepada pengusaha tempatan menambah baik produk dan meluaskan pasaran.
“Pada masa sama, kita mahu membuka peluang kepada pengusaha tempatan untuk menambah baik produk, meluaskan pasaran serta memperoleh manfaat ekonomi daripada pertumbuhan sektor pelancongan,” katanya.



