PUTATAN: Masyarakat diseru supaya mengutamakan penjagaan kesihatan dengan mengamalkan gaya hidup sihat serta menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi membolehkan penyakit dikesan dan dirawat pada peringkat awal.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, setiap individu perlu menghargai kesihatan diri kerana ia merupakan asas penting untuk menikmati kehidupan yang sejahtera.
Beliau berkata, amalan pemakanan seimbang, aktiviti fizikal, rehat mencukupi serta pemeriksaan kesihatan berkala perlu dijadikan sebahagian daripada rutin kehidupan.
“Kesihatan merupakan aset paling berharga dalam kehidupan kerana tanpa tubuh yang sihat, kita tidak akan dapat menjalani kehidupan dengan sejahtera.
“Kita perlu mengamalkan gaya hidup sihat seperti mengambil pemakanan seimbang, kekal aktif, mendapatkan rehat mencukupi dan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala.
“Pemeriksaan kesihatan dapat membantu kita mengetahui tahap kesihatan diri dan mengesan sebarang masalah lebih awal supaya langkah pencegahan dapat diambil, bak kata pepatah, mencegah itu lebih baik daripada merawat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kem Kesihatan PeKa B40 Putatan 2026 di Dewan Sri Putatan, di sini.
Shahelmey yang juga Pengerusi Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) berkata, program PeKa B40 atau kini dikenali sebagai PeKa Sihat merupakan inisiatif kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi meningkatkan akses golongan berpendapatan rendah kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan, khususnya melalui saringan awal penyakit.

Menurutnya, antara manfaat disediakan kepada golongan yang layak termasuk saringan kesihatan percuma, bantuan alat perubatan, insentif rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.
Beliau berkata, Klinik Kesihatan Putatan merekodkan seramai 122 individu menjalani saringan kesihatan dalam tempoh sembilan bulan bermula 1 Januari hingga 30 September tahun ini.
“Jumlah ini agak rendah jika dibandingkan dengan bilangan individu yang layak menerima manfaat berkenaan.
“Oleh itu, saya memohon kerjasama semua yang hadir pada hari ini supaya menyebarluaskan maklumat mengenai PeKa B40 kepada masyarakat agar lebih ramai mengetahui kewujudan program ini dan dapat menikmati manfaat yang disediakan,” katanya.
Program anjuran Panel Penasihat Klinik Kesihatan Putatan dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Putatan, Pejabat Daerah Putatan dan Klinik Kesihatan Putatan itu turut menyediakan pelbagai aktiviti, antaranya derma darah, forum kesihatan dan Jualan Rahmah MADANI Bergerak.
Shahelmey berharap penganjuran program berkenaan dapat meningkatkan kesedaran masyarakat di daerah itu mengenai kepentingan menjaga kesihatan serta mendapatkan pemeriksaan secara berkala.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Datuk Awang Sahari; ADUN Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya dan Pegawai Daerah Putatan, Masawi Salleh.



