KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM90 juta kepada 329 sekolah dan 1,761 badan keagamaan bukan Islam di seluruh negeri menerusi Majlis Penyerahan Bantuan Kewangan Kerajaan Sabah Tahun 2026 pada 24 November ini.
Majlis berkenaan dijadual berlangsung pada jam 9 pagi di The Pacific Sutera, Sutera Harbour Resort.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun, yang juga Pengerusi Jawatankuasa berkenaan, akan mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, untuk menyempurnakan majlis penyerahan bantuan itu.
Daripada jumlah keseluruhan peruntukan RM90 juta, sebanyak RM40 juta disediakan untuk 329 sekolah, manakala RM50 juta lagi disalurkan kepada 1,761 badan keagamaan bukan Islam di seluruh Sabah.
Bantuan berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sabah dalam menyokong pembangunan sektor pendidikan serta memperkukuh institusi keagamaan demi kesejahteraan masyarakat di negeri ini.
Selain itu, inisiatif berkenaan turut menggambarkan usaha kerajaan memastikan kebajikan masyarakat berbilang kaum dan agama terus diberi perhatian, sekali gus memelihara keharmonian, perpaduan dan kesejahteraan rakyat.
Bantuan kewangan itu meliputi kerja pembaikan dan penyelenggaraan infrastruktur, penambahbaikan serta penaiktarafan kemudahan asas, selain pembaikan fasiliti dan bangunan.
Melalui penyaluran bantuan berkenaan, kerajaan berharap institusi pendidikan dan badan keagamaan bukan Islam dapat terus memainkan peranan penting dalam pembangunan modal insan, pembentukan masyarakat berilmu serta pembangunan sosial negeri.



