PENAMPANG: Peranan ibu bapa dan guru amat penting dalam membimbing pelajar mengenal pasti minat serta potensi masing-masing, khususnya dalam meneroka bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Kepentingan sokongan itu antara perkara yang ditekankan dalam sesi perkongsian Profesor Dr Ho Chong Mun sempena Program STEM @ SMK Tansau anjuran Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Menurut kenyataan FST UMS, sesi pada hari kedua program itu membabitkan pelajar Tingkatan Tiga dan Empat, ibu bapa serta guru STEM Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tansau.

Perkongsian berkenaan memberi pendedahan mengenai kepentingan pendidikan STEM serta laluan pengajian yang boleh diterokai pelajar dalam bidang berkenaan.
Ia turut menekankan keperluan ibu bapa dan guru memainkan peranan dalam membimbing pelajar membuat pilihan pendidikan dan kerjaya berdasarkan minat serta potensi masing-masing.
Selain sesi perkongsian, program itu turut menampilkan forum STEM dengan Pengetua SMK Tansau, Dr Yong Yen Ping @ Miller Yong sebagai panel bagi membincangkan cabaran pembelajaran STEM.
Forum berkenaan turut menyentuh peranan universiti, sekolah dan keluarga dalam menyokong penguasaan pelajar terhadap bidang STEM.

Program dua hari itu dianjurkan bagi meningkatkan minat serta pemahaman pelajar terhadap bidang STEM menerusi pelbagai aktiviti interaktif dan sesi perkongsian bersama ahli akademik UMS.
Penganjuran program itu diharap dapat memperluas pendedahan pelajar terhadap bidang STEM, sekali gus membantu mereka mengembangkan kreativiti dan keyakinan dalam menentukan hala tuju pendidikan serta kerjaya.



