KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas didapati bersalah merogol anak kandungnya.
Hakim Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh didapati bersalah menerusi perbicaraan penuh dan memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan, 14 April 2025.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan mengikut Seksyen 26(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Tertuduh yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri turut diperintahkan dirujuk kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas selesai menjalani hukuman.
Mengikut pertuduhan pindaan, lelaki itu didakwa merogol anak kandungnya yang berusia 16 tahun ketika kejadian, di sebuah rumah dalam daerah ini, kira-kira jam 3 petang pada 18 Mac 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 10 kali, jika sabit kesalahan.
Seramai lima saksi pendakwaan memberi keterangan sepanjang perbicaraan, manakala tertuduh memberikan keterangan tanpa sumpah ketika membela diri.
Ketika mengemukakan rayuan bagi meringankan hukuman, tertuduh hanya berkata: “Saya minta bebas.”
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Shafeerah Mad Iskim memohon hukuman berat dengan mengambil kira tindakan tertuduh yang mengkhianati amanah sebagai seorang bapa apabila merogol anak kandung yang sepatutnya dilindunginya.
Katanya, usia mangsa yang masih muda dan kebergantungannya kepada tertuduh menjadikan mangsa lebih terdedah kepada penderaan serta sukar mendapatkan bantuan daripada pihak luar.
Beliau turut berhujah bahawa kejadian itu bukan kes terpencil kerana berdasarkan keterangan mangsa dan hasil pemeriksaan perubatan, mangsa mengalami penderaan seksual berulang sejak 2022.
Tambahnya, tertuduh menggunakan kekerasan fizikal, ugutan dan ancaman bagi menakutkan mangsa serta menghalangnya daripada melaporkan perbuatan berkenaan.
Mangsa memberi keterangan bahawa dia tidak melawan kerana takut dipukul, berikutan penderaan fizikal yang pernah dialaminya sebelum ini.
Nurul Shafeerah turut berhujah bahawa mangsa mengalami trauma sehingga menangis, menggigil dan merayu supaya tidak dihantar pulang.
Beliau berkata, kepentingan awam menuntut hukuman berat dikenakan, terutama bagi kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang dilakukan oleh ahli keluarga sendiri.
Katanya, hukuman itu bukan sahaja bertujuan menghukum tertuduh, malah memberi pengajaran dan amaran kepada orang lain supaya tidak melakukan kesalahan sama.



