KUALA LUMPUR: Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan melaksanakan Latihan KELAWAR 2026 di sekitar kawasan Operasi PASIR Selatan yang meliputi Tawau, Semporna dan Lahad Datu, Sabah, bermula 20 hingga 29 Julai ini.
Menurut kenyataan media TUDM hari ini, latihan itu bertujuan memperkukuhkan kompetensi, kecekapan serta kesiagaan operasi anak kapal dan aset helikopter menerusi pelaksanaan penerbangan taktikal bagi menghadapi konflik serta ancaman bukan tradisional, khususnya pada waktu malam.
Latihan berkenaan turut melibatkan kerjasama elemen pasukan khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), iaitu Pasukan Khas TUDM (PASKAU), Pasukan Khas Tentera Laut Diraja Malaysia (PASKAL) dan Grup Gerak Khas (GGK).
Sepanjang tempoh latihan, pesawat TUDM akan melaksanakan penerbangan taktikal pada altitud rendah, selain disertai pergerakan aset maritim milik agensi keselamatan di kawasan latihan yang telah digazetkan.
Sehubungan itu, TUDM memaklumkan orang ramai, khususnya penduduk di kawasan Tawau, Semporna dan Lahad Datu, supaya tidak berasa cemas sekiranya melihat pesawat terbang pada altitud rendah atau kehadiran aset pertahanan dan keselamatan di sekitar kawasan berkenaan sepanjang latihan dijalankan.



