KOTA KINABALU: Sabah membuktikan kedudukannya sebagai antara kuasa besar bola sepak wanita negara apabila muncul juara sebanyak tiga kali daripada empat edisi Liga Wanita Nasional (LWN) yang dipertandingkan setakat ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Sabah merangkap Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Muhd Arziz Afizy Rumsani berkata, pencapaian itu membuktikan pembangunan bola sepak wanita di negeri ini berada pada landasan tepat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan atas pemberian insentif kemenangan RM100,000 kepada pasukan berkenaan.
Katanya, insentif itu merupakan pemberian pertama seumpamanya daripada kerajaan negeri kepada pasukan bola sepak wanita, selain menjadi bonus kemenangan terbesar pernah diterima pasukan berkenaan.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri, khususnya Ketua Menteri dan Menteri atas pemberian insentif ini kerana ia merupakan kali pertama pasukan bola sepak wanita menerima bonus seumpama ini.
“Sepanjang empat edisi Liga Wanita, kita sudah muncul juara sebanyak tiga kali. Ini membuktikan bahawa Sabah setakat ini adalah antara kuasa besar bola sepak wanita di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan dari Kerajaan Negeri yang disampaikan Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan di sini pada Jumaat.
Arziz berkata, kejayaan itu wajar dibanggakan seluruh rakyat Sabah memandangkan pemain dan pengurusan pasukan telah melalui pelbagai cabaran serta melakukan banyak pengorbanan untuk mencapai kedudukan berkenaan.
Beliau berkata, perancangan pembangunan bola sepak wanita yang dilaksanakan setakat ini turut menunjukkan perkembangan positif, namun beberapa aspek masih perlu ditambah baik bagi memastikan sukan itu terus berkembang.
Katanya, usaha berterusan perlu dilakukan untuk memperkukuh ekosistem bola sepak wanita di Sabah, termasuk meningkatkan pembangunan pemain dan membuka lebih banyak peluang kepada bakat tempatan.
“Kita berharap pembangunan bola sepak wanita ini akan terus berkembang dan lebih ramai pemain dari Sabah dapat dipilih untuk mewakili Malaysia pada masa akan datang. Mudah-mudahan pasukan ini terus mencapai kejayaan serta mengharumkan nama Sabah dan negara di peringkat lebih tinggi,” katanya.



