HomeUtamaMalaysia Perlu Kuasai Keupayaan AI, Bukan Sekadar Jadi Pengguna Teknologi

Malaysia Perlu Kuasai Keupayaan AI, Bukan Sekadar Jadi Pengguna Teknologi

Read Time:3 Minute, 31 Second

KUALA LUMPUR: Masa depan kecerdasan buatan (AI) Malaysia bergantung kepada keupayaan negara membangunkan keseluruhan ekosistem AI sendiri, dan bukan sekadar bergantung kepada teknologi yang dibangunkan oleh syarikat asing, ketika akses kepada model AI global semakin tertakluk kepada faktor geopolitik dan dasar eksport.

Perkembangan itu menjadi semakin ketara apabila model AI Claude Fable 5 keluaran Anthropic tidak dapat diakses oleh pengguna asing susulan sekatan eksport Amerika Syarikat hanya beberapa hari selepas pelancarannya, sebelum akses dipulihkan beberapa minggu kemudian.

Insiden itu memperlihatkan bahawa akses kepada teknologi AI canggih boleh berubah pada bila-bila masa, sekali gus mengukuhkan kepentingan konsep “AI berdaulat” (sovereign AI), iaitu keupayaan sesebuah negara mengawal infrastruktur, model dan ekosistem AI yang menjadi asas kepada pembangunan digitalnya sendiri.

Konsep itu bukan bermaksud menolak teknologi luar, sebaliknya memastikan negara mempunyai kawalan terhadap komponen strategik yang membolehkan AI terus dibangunkan dan digunakan tanpa bergantung sepenuhnya kepada pihak lain.

Menurut rangka kerja industri yang sering digunakan NVIDIA, pembangunan AI memerlukan lima lapisan utama yang saling berkait iaitu tenaga, pusat data, pengkomputeran awan (cloud), model asas AI dan aplikasi.

Di Malaysia, YTL membangunkan keupayaan merentasi keselima-lima lapisan tersebut sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang negara.

“AI akan menjadi antara teknologi paling penting generasi ini, sebagaimana elektrik dan internet sebelum ini. Membina AI berdaulat bukan sekadar menghasilkan satu model AI atau satu aplikasi, tetapi membangunkan keseluruhan rantaian keupayaan daripada infrastruktur digital dan awan sehinggalah model asas serta aplikasi dunia sebenar supaya Malaysia mampu berinovasi, bersaing dan menentukan hala tuju AI sendiri,” kata Pengarah Eksekutif YTL Power International Berhad, Yeoh Keong Hann.

Infrastruktur tenaga menjadi asas

Bekalan tenaga yang stabil menjadi syarat utama kepada operasi AI kerana latihan model berskala besar memerlukan bekalan elektrik berterusan sepanjang masa.

Gangguan bekalan walaupun dalam tempoh singkat boleh menyebabkan proses latihan model tertangguh selama beberapa hari.

YTL Power mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai pengeluar tenaga bebas, dengan infrastruktur tenaga yang kini turut menyokong pembangunan AI.

Pusat data berskala besar

Tenaga itu kemudian disalurkan ke pusat data yang menyediakan kapasiti pengkomputeran berprestasi tinggi.

YTL membangunkan kampus pusat data seluas kira-kira 1,600 ekar di Johor berhampiran Singapura yang dirancang mencapai kapasiti sehingga 1,200 megawatt (MW), membolehkan latihan model AI berskala besar dilaksanakan dalam negara.

Pengkomputeran awan

Lapisan seterusnya ialah perkhidmatan awan yang membolehkan organisasi menggunakan kuasa pengkomputeran tanpa perlu memiliki perkakasan sendiri.

Pada Mei lalu, YTL AI Cloud menjadi antara penyedia pertama di Asia memperoleh pengiktirafan NVIDIA Exemplar Cloud, sekali gus meletakkannya dalam kelompok hanya 14 penyedia awan di dunia yang memenuhi piawaian teknikal tertinggi NVIDIA bagi beban kerja AI.

Model AI tempatan

Di peringkat model asas, YTL AI Labs membangunkan ILMU, model bahasa besar (LLM) yang direka khusus untuk memahami bahasa, budaya dan konteks tempatan.

Model itu menduduki tempat pertama dunia dalam penanda aras MalayMMLU, yang mengukur keupayaan AI menjawab pelbagai soalan akademik dan pengetahuan am dalam Bahasa Melayu.

Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Labs, Foong Chee Mun, berkata ILMU dibangunkan berasaskan kepercayaan bahawa AI hanya mampu memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat Malaysia sekiranya ia benar-benar memahami bahasa, keutamaan dan cara hidup masyarakat tempatan.

Aplikasi untuk pengguna

Lapisan terakhir ialah aplikasi yang membolehkan AI digunakan secara langsung oleh pengguna dan perusahaan.

YTL AI Labs membangunkan ILMU Claw, platform berasaskan rangka kerja sumber terbuka OpenClaw bagi membolehkan organisasi membina ejen AI autonomi di atas infrastruktur tempatan.

Dalam sektor kewangan, Ryt Bank memperkenalkan sistem AI berbilang ejen yang membolehkan pelanggan melakukan transaksi seperti pemindahan wang dan pembayaran bil hanya melalui arahan teks atau gambar bil. Sementara itu, Yes memperluaskan penggunaan AI kepada lebih tiga juta pelanggan melalui akses percuma kepada ILMUchat Pro serta pembantu maya Sofea yang diintegrasikan dalam aplikasi MyYes bagi membantu pengguna mengurus akaun dan pembayaran.

Malaysia berpotensi muncul peneraju AI serantau

Ketika persaingan global semakin beralih daripada penggunaan AI kepada penguasaan keupayaan membangunkannya, negara yang mempunyai keseluruhan rantaian teknologi dijangka menikmati kelebihan strategik dalam jangka panjang.

Dengan pembangunan merangkumi tenaga, pusat data, pengkomputeran awan, model AI serta aplikasi, Malaysia dilihat berada dalam kelompok kecil negara yang memiliki ekosistem AI lengkap yang dibangunkan bagi memenuhi keperluan domestik.

Perkembangan itu membuka ruang kepada Malaysia untuk muncul sebagai antara hab AI utama di ASEAN, sekiranya kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi akademik terus diperkukuhkan bagi mempercepat pembangunan bakat serta inovasi tempatan.

RELATED ARTICLES
Utama

Peguam gesa langkah pencegahan susulan insiden baharu pelajar jatuh

Most Popular