KOTA KINABALU: Beberapa kawasan di pantai timur Sabah, khususnya Kudat, Sandakan dan Kinabatangan, dijangka mengalami hujan berterusan selama tiga hari bermula Isnin ini susulan jangkaan kemasukan luruan monsun ke rantau negara.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam kenyataan memaklumkan, luruan monsun dijangka memasuki rantau negara antara 9 hingga 11 November ini, sekali gus berpotensi membawa hujan lebat berterusan di kawasan pantai timur Semenanjung dan timur Sabah.
Menurut MET Malaysia, bagi Sabah, amaran hujan berterusan pada tahap Waspada dikeluarkan membabitkan Kudat serta Sandakan yang merangkumi Paitan, Telupid, Labuk dan Sugut, Sandakan serta Kinabatangan.
Amaran berkenaan berkuat kuasa mulai 9 November hingga 11 November 2026.
Sementara itu, amaran sama turut dikeluarkan bagi beberapa kawasan di Kelantan dan Terengganu bermula 8 November hingga 11 November ini.
MET Malaysia turut memaklumkan bahawa penumpuan angin timuran yang sedang berlaku di negeri-negeri barat Semenanjung berpotensi menyebabkan ribut petir berserta hujan lebat pada waktu petang yang boleh berlarutan sehingga lewat malam.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya penduduk di kawasan yang terlibat dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga susulan risiko hujan berterusan sepanjang tempoh berkenaan.
Orang awam juga disaran mendapatkan maklumat cuaca terkini dan sahih menerusi laman web rasmi MET Malaysia di www.met.gov.my, media sosial rasmi jabatan itu serta aplikasi myCuaca. – SABAH MEDIA



