HomeUtamaDUN Sabah: Masiung cadang kuota subsidi BUDI Diesel di Sabah, Sarawak dinaikkan...

DUN Sabah: Masiung cadang kuota subsidi BUDI Diesel di Sabah, Sarawak dinaikkan 500 liter sebulan

Read Time:1 Minute, 54 Second

Oleh Normimie Diun

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan disaran mengkaji semula pelaksanaan subsidi bersasar BUDI Diesel di Sabah dan Sarawak dengan menaikkan kuota pembelian kepada 500 liter sebulan bagi setiap kenderaan persendirian, berbanding 200 liter ketika ini.

Pengerusi Kelab Backbenchers Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Masiung Banah, berkata kuota sedia ada tidak praktikal mengambil kira faktor geografi, keluasan negeri serta jarak perjalanan yang jauh antara kawasan pedalaman dan bandar di Sabah serta Sarawak.

Menurutnya, pelaksanaan dasar itu tidak seharusnya disamakan dengan Semenanjung Malaysia kerana keadaan rangkaian jalan raya dan corak perjalanan di Borneo jauh berbeza.

“Saya mencadangkan supaya Kerajaan Persekutuan menaikkan kuota BUDI Diesel kepada 500 liter sebulan bagi Sabah dan Sarawak.

“Kuota 200 liter sebulan tidak praktikal bagi perjalanan di bumi Borneo kerana rakyat, terutama di kawasan pedalaman, perlu menempuh perjalanan yang jauh untuk berurusan atau menjual hasil pertanian di bandar,” katanya ketika membahaskan usul pada Persidangan DUN Sabah, di sini, hari ini.

Masiung berkata, sebagai contoh, penduduk di kawasan Kuamut terpaksa menempuh perjalanan antara lima hingga enam jam untuk ke Kota Kinabalu, dengan penggunaan diesel melebihi 100 liter bagi perjalanan sehala.

Katanya, perjalanan pergi dan balik boleh menggunakan sehingga 200 liter diesel hanya dalam tempoh sehari atau dua hari.

Beliau berkata, keluasan kawasan Kuamut sendiri adalah lebih besar daripada negeri Kedah, sekali gus menggambarkan cabaran sebenar yang dihadapi penduduk di pedalaman Sabah.

“Kalau di Semenanjung, memandu 20 minit sudah melalui dua atau tiga negeri. Tetapi di Sabah, memandu selama tiga jam hanya melintasi satu atau dua daerah sahaja,” katanya.

Masiung turut mengingatkan bahawa masih ramai penduduk di pedalaman Sabah yang belum menikmati kemudahan jalan raya dan bekalan elektrik, sekali gus bergantung kepada pengangkutan bot serta generator diesel untuk menjana elektrik.

Menurutnya, golongan itu antara yang paling terkesan kerana syarat kelayakan BUDI Diesel yang disifatkan terlalu ketat menyebabkan mereka terpaksa membeli diesel pada harga pasaran RM3.97 seliter.

Beliau berkata, ramai petani, nelayan dan pemilik bas sekolah di kawasan luar bandar juga tidak layak menerima subsidi kerana kenderaan yang digunakan didaftarkan atas nama pihak lain melalui pinjaman permit atau kaedah sambung bayar.

Sehubungan itu, beliau berharap Kerajaan Persekutuan meneliti semula dasar subsidi bersasar BUDI Diesel dengan mengambil kira keadaan geografi dan keperluan sebenar rakyat di Sabah dan Sarawak agar pelaksanaannya lebih adil serta tidak membebankan penduduk luar bandar.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah: Kerajaan negeri disaran laksana pelan tindakan autisme Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular