Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah masih mengekalkan kadar bantuan kebajikan negeri antara RM200 hingga RM350, dengan sebarang peningkatan bergantung kepada kedudukan kewangan kerajaan negeri.
“Kerajaan Negeri masih mengekalkan kadar bantuan kebajikan Negeri RM200 sehingga RM350. Kesediaan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan bajet adalah bergantung kepada kedudukan kewangan Kerajaan Negeri,” kata Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Grace Lee Li Mei, mengenai perancangan untuk menaikkan kadar bantuan tersebut selaras dengan kos sara hidup bandar raya yang tinggi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
ADUN Dilantik turut bertanya mengenai jumlah ketua isi rumah (KIR) kategori miskin bandar di Kota Kinabalu yang menerima bantuan bulanan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) setakat tahun ini.
Menurut Rina, setakat Jun lalu, seramai 18,752 penerima menerima lapan jenis bantuan di bawah jabatan itu.
Daripada jumlah itu, Bantuan Warga Emas (BWE) merekodkan penerima tertinggi iaitu 7,196 orang, diikuti Skim Bantuan Am (SBAM) seramai 6,489 orang.
“Turut disalurkan ialah Bantuan Penjagaan OKU Terlantar/Pesakit Kronik Terlantar dan Pesakit Kronik Tidak Terlantar (BPT) kepada 1,538 penerima, Bantuan Kanak-Kanak (BKK) 1,402 penerima, Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) 910 penerima, Skim Bantuan Anak Yatim (SBAY) 640 penerima, Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) 569 penerima dan Bantuan Anak Pelihara (BAP) lapan penerima,” katanya.
Beliau berkata, bagi bantuan kebajikan Persekutuan, sebarang kenaikan kadar bantuan adalah berdasarkan Belanjawan Persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri ketika pembentangan belanjawan di Parlimen.
“Selain itu, Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan juga meningkatkan kelayakan pemohon bantuan berdasarkan kiraan Panduan Garis Kemiskinan (PGK) semasa iaitu daripada pendapatan Ketua Isi Rumah (KIR) RM1,198 pada 2025 kepada RM1,236 pada 2026, manakala pendapatan per kapita meningkat daripada RM322 kepada RM348,” katanya.



