HomeUtamaLelaki didakwa tipu wanita berhubung sewa rumah

Lelaki didakwa tipu wanita berhubung sewa rumah

Read Time:1 Minute, 6 Second

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 42 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menipu seorang wanita membabitkan urusan sewa rumah bernilai RM1,500.

Tertuduh, Redzuan Sulaiman, yang turut berdepan lima lagi kes berasingan yang masih belum selesai di Mahkamah Sesyen, dihadapkan di hadapan Hakim Marlina Ismail.

Redzuan pada mulanya mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan kepadanya. Bagaimanapun, pengakuan itu tidak diterima selepas beliau mempertikaikan beberapa dokumen berkaitan kes yang ditunjukkan kepadanya.

Dokumen yang dipertikaikan itu ialah perjanjian bagi urusan sewa rumah berkenaan, yang menurut Redzuan bukan disediakan olehnya dan didakwa digunakan untuk memperdaya mangsa.

Mengikut pertuduhan, Redzuan didakwa menipu seorang wanita berusia 31 tahun dengan memperdayakannya bahawa beliau boleh menyediakan perkhidmatan sewa rumah di University Utama Condominium, Fasa 2, Telipok,  dekat sini.

Hal itu mendorong  mangsa untuk menyerahkan duit sebanyak RM1500 kepada tertuduh bagi mendapatkan perkhidmatan berkenaan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 3.20 petang pada 14 Jun lalu di KK Plaza, di sini.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi 10 tahun, sebat serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 24 Ogos depan untuk sebutan semula kes dan memerintahkan Redzuan direman sehingga kes itu selesai.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya DK Afiqah Alya, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

RELATED ARTICLES
Utama

Sukan bentuk disiplin, integriti dan kepimpinan pelajar, bukan sekadar kejar pingat...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular